Monday, 11 January 2016

KENYATAAN DATO SRI ABDUL WAHID OMAR BERHUBUNG INSIDEN DI SIDANG KEMUNCAK BANTAH TPPA

tppa

Asssalamualaikum rakan-rakan. 
Pada hari Sabtu 9 Januari 2016, saya telah hadir di Sidang Kemuncak TPPA anjuran Bantah TPPA & Kongres Rakyat di IDCC, Shah Alam. Saya mendaftar secara online hari sebelumnya setelah mendapat persetujuan Tok Pa yang turut menghantar beberapa pegawai MITI. Tok Pa berada di Pulau Pinang untuk program penerangan TPPA.

Tujuan kehadiran saya adalah untuk mendengar sendiri isu-isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli panel yang terdiri daripada Saudara Nizam Mahshar, Cikgu Azmi, Prof Gurdial Singh dan Pn Chee Yoke Ling sementara moderator adalah Saudara Rizal Jaafar. YABhg Tun Dr Mahathir turut hadir tetapi tidak memberikan ucaptama kerana kurang sihat. Kita doakan agar Tun segera sembuh.
Sidang dibuka oleh Saudara Azlan Awang MTEM. Saya sampai jam 8.50 pagi kerana poster sidang menyatakan acara diadakan 9.00 pagi-1.00 petang. Setelah sampai barulah saya diberitahu bahawa Majlis dijadualkan hanya bermula 10.00 pagi. Silap saya kerana tidak mendapat pengesahan waktu.
Walaubagaimanapun majlis hanya bermula 10.30 pagi setelah ketibaan Tun. Pelbagai isu telah dibangkitkan termasuklah kajian kos dan manfaat, soalan mengapa perlu tergesa-gesa, rundingan sulit, perlindungan harta intelek, kemungkinan kenaikan kos ubat, kedaulatan negara, perolehan Kerajaan, syarikat milik Kerajaan dan kepentingan Bumiputera.
Saya berpendapat banyak kebimbangan atau kegusaran mereka tidak benar. Sebagai contoh, ada yang menyatakan kedaulatan negara tergadai sehingga Kerajaan negeri akan kehilangan kuasa untuk menetapkan syarat-syarat penukaran kegunaan tanah, sehingga menghalang negara untuk menetapkan piawaian halal dan sehingga TPPA mengatasi Perlembagaan Persekutuan.
Ini tidak benar. Antara lain, artikel 4(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu”.
Ada juga yang membangkitkan kebimbangan tentang peruntukan mekanisma penyelesaian pertikaian Pelabur-Negara (ISDS mechanism).
Sebenarnya mekanisma ISDS melalui tribunal arbitrasi antarabangsa telah lama digunakan. Saya sendiri pernah terlibat ketika menerajui Telekom Malaysia (TM) tahun 2004-2008 dimana TM telah memfailkan kes ‘expropriation’ terhadap Kerajaan Ghana yang telah melanggar perjanjian dan mengambil alih penguasaan Lembaga Pengarah dan pengurusan syarikat Ghana Telecommunications daripada TM setelah pertukaran Kerajaan di mana Presiden Kufour telah menggantikan Presiden Rawlings.
Proses arbitrasi tersebut telah mendorong Kerajaan Ghana menyelesaikan pertikaian dan memberi pampasan setimpal kepada TM. Walaupun peruntukan ISDS dalam TPPA ini akan mengikat Kerajaan, tuntutan akan hanya berkuatkuasa setelah proses perundingan selama 6 bulan dijalankan sebelum dirujuk ke tribunal arbitrasi antarabangsa.
Ia juga akan memberi perlindungan kepada syarikat-syarikat Malaysia yang kini telah melabur lebih RM600 billion ke luar negara termasuklah dalam negara-negara TPP.
Balik ke prosiding Sidang Kemuncak TPPA, setelah panel selesai membuat pembentangan, saya telah memohon untuk bercakap dan memberi sedikit pencerahan. Malangnya permintaan saya ditolak atas sebab kesuntukan masa. Setelah beberapa kali mengulang permintaan, akhirnya saya akur dengan keputusan penganjur. Kita perlu hormat majlis orang.
Izinkan saya menyentuh 3 perkara iaitu isu Penjajahan, Kos & Manfaat dan isu Rundingan Perjanjian.
1. Penjajahan : Perjanjian TPPA melibatkan 12 buah negara iaitu 5 dari benua Amerika (Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Peru & Chile), 4 dari ASEAN (Malaysia, Singapura, Brunei & Vietnam) dan 3 dari Pasifik (Jepun, Australia & New Zealand).
Tiada negara yang dipaksa untuk menyertai TPP. Semuanya termasuk Malaysia menyertai TPP kerana percaya akan manfaat bersama (mutual benefits) yang bakal dinikmati. Malaysia sedar kita merupakan negara kecil dengan penduduk seramai hanya 31 juta dan saiz KDNK (GDP) sekitar USD300 billion.
Sebab itulah kita menjuarai penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN bermula 31 Disember 2015 yang membolehkan saiz pasaran kita berkembang menjadi 620 juta penduduk & saiz KDNK USD2.5 trillion. Dengan menyertai TPP, saiz pasaran akan lebih meluas lagi dengan jumlah penduduk 800 juta & saiz KDNK USD27.5 trillion iaitu 40% daripada saiz ekonomi dunia.
2. Kos & Manfaat : Dalam menyertai mana2 blok atau perjanjian perdagangan, memang ada kos dan ada manfaatnya. Selain analisa dalaman, Kerajaan telah meminta Institut Kajian Strategi & Antarabangsa (ISIS) untuk melaksanakan Analisa Kepentingan Nasional dan PriceWaterhouse Coopers (PWC) untuk melaksanakan Kajian Kos & Manfaat. ISIS telah membuat kesimpulan bahawa penyertaan Malaysia dalam TPP adalah demi kepentingan negara.
Manakala PWC membuat kesimpulan TPPA bakal memberikan manfaat bersih kepada ekonomi Malaysia dengan potensi peningkatan ekonomi atau KDNK antara USD107-211 billion dalam jangkamassa 2018-2027 atau peningkatan 0.60%-1.15% pada tahun 2027.
Bank Dunia juga dalam lapuran ‘Global Economic Prospects January 2016’ mereka telah menyentuh tentang potensi implikasi ekonomi makro TPP dalam mukasurat 219-233. Antara lain, Bank Dunia telah menyatakan bahawa Vietnam & Malaysia adalah antara negara TPP yang bakal menikmati manfaat terbanyak dengan peningkatan KDNK masing2 sebanyak 10% dan 8% menjelang tahun 2030.
Peningkatan ekonomi yang berterusan akan membolehkan rakyat mendapat peluang perniagaan dan pekerjaan yang lebih baik yang seterusnya akan meningkatkan pendapatan isirumah rakyat Malaysia. Jadi berdasarkan kajian yang telah dijalankan, adalah jelas bahawa penyertaan Malaysia dalam TPP lebih mendatangkan manfaat.
3. Rundingan Perjanjian : Sejak awal lagi Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa Malaysia hanya akan menyertai TPP atas terma2 yang boleh kita terima. Saya, DS Ahmad Husni & DS Idris Jala adalah antara menteri2 ekonomi yang telah membantu Tok Pa dalam rundingan TPPA.
Penglibatan saya bermula 2 tahun lalu setelah menyertai Kabinet. Memang sukar untuk memuktamadkan perjanjian sebesar ini yang melibatkan negara2 kuasa besar. Pelbagai usaha telah dibuat untuk memastikan pihak AS memahami kedudukan & keperluan Malaysia. Ini termasuk mengadakan sesi penerangan kepada Wakil Perdagangan AS tentang polisi Bumiputera & peranan syarikat2 berkaitan Kerajaan.
Saya percaya Tok Pa & pasukan MITI dengan sokongan lain2 Kementerian & agensi telah membuat yang terbaik mendapatkan terma2 yang perlu untuk memelihara kepentingan negara. Ini termasuk pengiktirafan polisi Bumiputera dalam perjanjian TPP. Perkara ini tercapai kerana Malaysia telah menyertai rundingan awal.
Sekiranya Malaysia tidak termasuk dalam senarai 12 negara awal TPP, Malaysia akan terpaksa menerima terma2 perjanjian sedia ada kemudian. Kemungkinan ini adalah benar (real) kerana 3 buah negara ASEAN lain iaitu Indonesia, Thailand & Filipina telah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai TPP selepas ini.

Akhir sekali, Kerajaan akan membentangkan perjanjian TPP untuk kelulusan Dewan Rakyat pada 26&27 Januari dan Dewan Negara pada 28 Januari.
Apa juga kegelisahan atau kebimbangan boleh diutarakan oleh Ahli-Ahli Parlimen & akan dijawab oleh Tok Pa pada sesi Parlimen tersebut. Marilah kita bersikap membina & bersiap sedia untuk memastikan syarikat2 & rakyat kita dapat memanfaatkan TPPA yang bakal kita tandatangani setelah kelulusan Parlimen nanti. 
Terima kasih.

Post a Comment