Friday, 15 January 2016

LELAKI INDIA CEROBOH MASJID AR-RAUDAH BATU 7 LEKIR MENGAKU TERTEKAN HUTANG ALONG


Seorang lelaki yang mengaku mengalami gangguan jiwa dan tekanan perasan akibat dibelenggu hutang dengan along bertindak di luar kawalan apabila membuat kacau di sebuah masjid di Lekir, dekat sini kelmarin.


Ketua Polis Daerah Manjung ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata suspek yang berumur 33 tahun masuk ke dalam Masjid Ar-Raudah, Batu 7 kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum bertindak membaling semua al-Quran dan kitab yang ada di rak.


“Selain itu suspek juga pijak al Quran di lantai dan menyepahkan kain telekung serta sejadah.

“Selain masalah hutang dengan along suspek juga mengakui mempunyai masalah perbelanjaan keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Tengku Mohd Zailan berkata perbuatan suspek yang bekerja sebagai kontraktor pembinaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid selama 15 minit.


Katanya polis berjaya menahan suspek kira-kira pukul 2.45 petang hari yang sama dan kini direman selama empat hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Pengerusi masjid Abdul Rani Hashim,64, berkata kehadiran suspek ke masjid itu disedari beberapa pekerja pembinaan di perkarangan rumah ibadah tersebut, namun tidak mengesyaki sebarang kelakuan pelik.

“Seorang kariah masjid yang baru lepas mengambil wuduk kemudian terkejut melihat ruang solat utama dan bahagian solat wanita berselerak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Manjung Roslin Om pula kesal dengan kejadian itu dan berharap jawatankuasa surau atau masjid dapat meningkatkan rondaan untuk mengelak insiden sama berulang. — Bernama Sumber : Malay Mail

Post a Comment