Monday 7 December 2015

SEBAB MUSABAB NURUL IZZAH DIHALANG MASUK SARAWAK



KUCHING - Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar telah dihalang daripada memasuki Sarawak petang tadi sebaik sahaja berada kaunter pemeriksaan pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).


Keputusan Kerajaan Negeri Sarawak yang tidak membenarkan Nurul Izzah Anwar memasuki Sarawak pada hari ini bukanlah perkara baharu bahkan pernah dilalui beberapa pemimpin lain.

Ini kerana Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai hak untuk menggunakan hak imigresen yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia untuk menghalang kemasukan mana-mana ekstremis kaum dan agama dengan menghantar mereka balik menurut undang-undang yang sedia ada.

Sebelum ini beberapa pemimpin politik dan akademik telah dan pernah tidak dibenarkan memasuki Sarawak antaranya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Datuk Ibrahim Ali, Tian Chua, Zuraida Kamarudin, Tony Pua dan terbaru Nurul Izzah.

Larangan kemasukan Nurul Izzah ke Sarawak mempunyai kaitan dengan beberapa insiden yang dilakukannya dan mengambil kira keputusan Persidangan DUN Sabah yang turut tidak membenarkan Naib Presiden PKR memasuki Sabah serta perasan rakyat Sarawak dalam Tragedi Berdarah Lahad Datu.

Tindakan dan kelakuan Nurul Izzah yang berjumpa dan bercakap dengan jurucakap kumpulan militan pengganas Kiram Sulu, Jacel Kiram di mana kumpulan tersebut bertanggungjawab mencetuskan Tragedi Berdarah Lahad Datu pada 2013 telah membangkitkan kemarahan rakyat di seluruh negara termasuk di Sarawak.

Difahamkan perjumpaan Nurul Izzah dengan Jacel Kiram ialah bagi mendapatkan sokongan kumpulan pengganas itu dalam membebaskan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang kini ditahan di penjara atas kesalahan meliwat.

Sebagai seorang anggota Parlimen Malaysia yang sebelum ini bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan negara daripada ancaman musuh, jelas perbuatan Nurul Izzah ini bertentangan dan sebaliknya bersekongkol dengan militan pengganas.

Mungkin ramai penyokong PKR dan rakyat Sarawak ‘lupa’ bahawa Tragedi Berdarah Lahad Datu itu telah mengorbankan 8 orang parajurit-parajurit negara yang mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman musuh; salah seorang parajurit itu adalah anak tempatan Sarawak Mendiang Michael ak Padel Ketua Cawangan Khas Daerah Semporna yang dibunuh kejam oleh militan pada serangan hendap Mac 2013.

Bagaimanakah perasaan ibu Michael Elizabeth Inat Rau melihat kematian anaknya dalam tragedi berdarah itu yang didalangi militan pengganas Kiram Sulu dan mendapat sokongan pemimpin pembangkang PKR?

Juga isteri Michael, Jabah Mingku, dan anak lelaki Macluie Michael melihat pemimpin yang bersekongkol dengan militan pengganas yang membunuh suami dan bapanya dibenarkan memasuki Sarawak?

Bagi memberikan pengajaran kepada pemimpin yang menyokong militan pengganas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah minggu lepas telah sebulat suara menyokong usul khas; 47 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah menyokong usul khas di bawah Peraturan Tetap 31 (3) manakala tiga ADUN berkecuali. Lima ADUN pembangkang iaitu daripada PKR dan DAP keluar dewan sebelum pengundian.

Usul tersebut telah dibentangkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah itu disokong oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan diluluskan selepas hampir dua jam dibahaskan oleh anggota dewan pada persidangan itu.

Dalam pada itu, Nurul Izzah ketika ini sedang disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah) Khas 2012 (Sosma) ekoran pertemuannya dengan Jacel H. Kiram.

Dewan Rakyat telah memutuskan untuk mengemukakan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen setelah usul itu yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dipersetujui untuk dibahaskan.

Daripada 222 ahli Parlimen, 105 mengundi bersetuju dan 77 ahli pembangkang mengundi tidak bersetuju.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Salleh, berkata pada masa ini pihaknya sedang menunggu tarikh yang sesuai daripada Nurul Izzah bagi meminta beliau tampil membantu siasatan berhubung tindakannya bertemu anak bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Kedudukan Naib Presiden PKR itu bakal ditentukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dalam sidang akan datang. - klxpress.com.my

No comments: