Monday 7 December 2015

80% ANAK SENI HIDUP SUSAH ???

80 peratus anak seni hidup susah - GASSENI

PUTRAJAYA: Kira-kira 80 peratus anak seni tanah air hidup susah, ujar Pengerusi Gegar Anak Seni (GASSENI), Datuk Malek Radzuan Saharin.

Ia berlaku kerana kebanyakan mereka tidak berpeluang membuat persembahan kerana perlu bersaing dengan artis-artis baharu.

"Kenapa saya kata 80 peratus (susah)? Ia kerana yang kita nampak yang 20 peratus itu yang diutamakan selalu, yang diterima oleh stesen televisyen atau persembahan seterusnya yang dalam 80 peratus itu tiada," katanya kepada Astro AWANI selepas sidang media sempena Malam GASSENI di bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Beliau memberi contoh Allahyarham Seniwati, Mariani Ismail yang sebelum ini dikatakan terpaksa bekerja-keras untuk mendapat tempat di hati peminat dalam industri seni tanah air.

"Seniwati Mariani sebelum meninggal dunia pernah mengatakan kepada saya bahawa apabila artis-artis baru ini ada contohnya berlakon, watak orang tua biasanya akan dilakonkan mereka (artis muda) dengan mereka dimekap (untuk menjadi tua) dan menyebabkan watak orang tua untuk dia sudah tidak ada," jelasnya.

Tegasnya, nasib anak seni dilihat tidak terbela terutama apabila mereka meningkat usia.

"Kita tahu ada anak-anak seni dia terpaksa menumpang dengan anaknya sendiri. Contohnya, mungkin dia mempunyai anak yang ada pelajaran dan pekerjaan yang baik untuk jadi tempat menumpang," jelas beliau lagi.

Beliau juga mencadangkan stesen-stesen televisyen mewujudkan lebih banyak program realiti seperti Gegar Vaganza dalam usaha membantu artis-artis lama membuat kemunculan semula.

"Bagi saya perlunya program seperti ini supaya artis-artis lama itu harus disegarkan semula kerana saya tengok artis-artis malar segar ini kepada radio sahaja. Kadang-kadang itu orang tidak nampak?

''Kebanyakan program realiti televisyen libatkan anak-anak muda yang baru nak berkecimpung dalam nyanyian terutamanya.

"Seperti zaman saya dulu, saya bukan masuk pertandingan mana-mana. Untuk menjadi seorang artis, apabila bagus baru dia boleh popular dengan lagu-lagu itu," kata Malek.

Bagaimanapun katanya, beliau juga berharap artis-artis lama lebih kreatif dan berani untuk mencuba sesuatu yang baru dalam usaha mengekalkan mereka dalam industri hiburan hari ini.

"Tidak semua penyanyi dangdut itu perlu menyanyi lagu dangdut sahaja, banyak lagi kategori dia boleh lakukan. Mereka boleh cuba dan pelbagaikan genre mereka," tambahnya.


Dalam pada itu katanya, Malam Gegar Anak Seni yang bakal diadakan julung kalinya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 15 Disember ini diharap akan menjadi platform kepada anak-anak seni untuk terus memberi sumbangan kepada industri hiburan tanah air.

"Apabila program ini berlangsung, kita akan dapatkan dana daripada luar dan dana itu akan kita salur kepada Koperasi Seniman Kuala Lumpur. Malam itu juga artis-artis ini juga akan diajak untuk menyertai Koperasi berkenaan.

Setakat ini katanya, 60 artis telah menyertai koperasi berkenaan.

Antara artis yang dijangka tampil membuat persembahan ialah Musly Ramlee, Amelina, Hazam, Aweera, Caliph Buskers, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan dan Datuk Nash. - AstroAwani

No comments: