Sunday, 22 November 2015

POLIS AKAN AMBIL TINDAKAN TEGAS SEBAR MAKLUMAT KEHADIRAN PENGEBOM BERANI MATI


KOTA KINABALU : Polis akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu termasuk anggota polis yang terlibat menyebarkan maklumat mengenai kehadiran pengebom berani mati dari kumpulan Abu Sayyaf di sekitar negeri dan bandar raya ini. 


Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihak polis memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi berikutan maklumat itu menjadi viral di laman sosial, sehingga menimbulkan kebimbangan orang awam terhadap keselamatan negara. 

Jalaluddin tidak menolak kemungkinan terdapat pihak atau individu tidak bertanggungjawab yang sengaja membuat andaian dan propaganda bagi menimbulkan panik dan kegusaran rakyat negeri ini.

“Saya minta kepada semua masyarakat (Sabah) jangan panik, jangan terpedaya dan jangan menokok tambah apa-apa maklumat tidak betul itu kepada semua pihak. 


“Polis telah membuat laporan polis mengenai perkara itu dan kita juga sudah mengenal pasti siapa dalang tidak bertanggungjawab itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Deepavali warga polis Sabah di sini, Sabtu.

Jalaluddin berkata demikian bagi mengulas maklumat tersebar yang mendakwa kumpulan Abu Sayyaf menempatkan lapan pengebom mati di beberapa lokasi penting di Sabah khususnya sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menerima pelbagai maklumat, tidak kira dari dalam mahupun luar negara, termasuk negara jiran, dan maklumat itu akan ditapis bagi memastikan kesahihannya. 

“Tambahan pula dalam isu sekarang ini, Sabah ada sedikit ancaman daripada negara jiran yang melakukan jenayah rentas sempadan,” katanya. Jalaluddin yang tidak mengatakan “benar” atau “tidak” maklumat disebarkan, bagaimanapun berkata, pihak polis akan sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi sebarang ancaman dan kemungkinan. 

“Polis sentiasa bersedia dan kita tidak akan berdiam diri,” katanya. — BERNAMA

LAIN-LAIN YANG BERKAITAN..... 


“Ia berpunca daripada pihak dalaman sendiri. Kita bakal ambil tindakan sewajarnya tidak kira sama ada dia orang awam, pegawai atau anggota PDRM sendiri,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian Online.

Polis telah mengenal pasti pihak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat mengenai terdapat ancaman pengebom berani mati di negeri Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memaklumkan berita yang tersebar daripada aplikasi Whatsapp berpunca daripada pihak dalaman.

Beliau khuatir terdapat individu tidak bertanggungjawab menjadikannya propaganda untuk menakutkan penduduk khususnya di Sabah kerana ia membabitkan jenayah rentas sempadan.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai jangan panik serta menokok tambah berhubung penyebaran maklumat itu.


Kelmarin, surat pekeliling dalaman polis yang mendedahkan mengenai kehadiran pengebom berani mati di Sabah dan Kuala Lumpur dilaporkan tersebar.

Post a Comment