Monday, 23 November 2015

DATUK AZIZ KAPRAWI SAHKAN ADA USAHA SINGKIRKAN TSMY DI PAU2015 ???


Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengesahkan terdapat usaha untuk menyingkirkan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perhimpunan agung Umno bulan depan.
Katanya, beliau menjangkakan perhimpunan itu akan berjalan lancar meskipun desakan supaya Muhyiddin berundur akan disuarakan oleh ahli parti berikutan tindakan Muhyiddin kebelakangan ini.
Portal Utusan Malaysia, memetik Abdul Aziz berkata, keadaan itu dijangka kerana Muhyiddin itu telah melanggar etika parti serta memberi gambaran beliau sudah tidak membantu pimpinan parti yang diterajui Datuk Seri Najib Razak.
“Perhimpunan akan berlangsung mengikut peraturan sedia ada namun apabila bercakap soal Muhyiddin, mungkin akan wujud desakan beliau melepaskan jawatan kerana kebelakangan ini beliau berterusan mengkritik parti dan kerajaan,” katanya dipetik akhbar milik Umno itu di Pulau Pinang.
Jumaat lalu, Akramsyah Sanusi - anak kepada bekas Setiauasaha Agung Umno Tan Sri Sanusi Junid mendakwa bahawa mesyuarat itu dipercepatkan dari 27 November kepada 24 November.
Menulis di blog, katanya, mesyuarat majlis tertinggi itu bakal tidak diadakan di tempat biasa iaitu di PWTC tetapi beralih ke bangunan parlimen.
Ini menimbulkan spekulasi bahawa Muhyiddin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan dikenakan tindakan termasuk dipecat atau digantung daripada parti pada mesyuarat MT pada Selasa ini.
Ini kerana kedua-dua mereka kini di luar negara dan tidak akan pulang pada Selasa ini.


Namun dakwaan itu dinafikan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz yang juga timbalan menteri pengangkutan berkata, tindakan Muhyiddin 'menyertai' Tun Dr Mahathir Mohamad 'menyerang' kerajaan juga mungkin menjadi punca wujud desakan supaya beliau melepaskan jawatan.
“Kita tidak mahu ada 'duri dalam daging' ketika proses mengukuhkan Umno sedang berlangsung. Penyatuan dalam kalangan ahli amat mustahak ketika ini,” katanya lagi. -MK

Post a Comment