Tuesday 24 November 2015

PENYAKIT SERAWAN RAGUT NYAWA KANAK-KANAK ORANG ASLI SUKU KAUM JAHAI

jahai1

BELUM: Satu penyakit misteri sedang merebak dan membunuh kanak-kanak Orang Asli daripada suku kaum Jahai di kawasan Sungai Kejar di Taman Negeri Perak Royal Belum.


Persoalannya sama ada pihak berkuasa tidak mengetahui mengenai kejadian itu atau masyarakat Orang Asli itu sendiri tidak melaporkan mengenai kematian yang berlaku.

Suku berkenaan memanggil penyakit itu sebagai serawan.

Ia bermula dengan tompok putih di dalam mulut kanak-kanak dan ia terus membunuh dalam masa beberapa hari selepas tanda-tanda itu dilihat.

Pasukan R.AGE daripada The Star mengembara jauh ke dalam taman negeri itu untuk menyiasat dan melakukan dokumentari.

Kami menemui beberapa keluarga suku Jalai yang kehilangan anak-anak mereka kerana penyakit itu.

Seorang budak perempuan berusia lapan tahun, Malini, meninggal dunia pada pagi selepas pasukan R.AGE tiba.

jahai2
Kurup, menyalakan api di kawasan kubur anak perempuannya, Malini. Binaan buluh berbumbung itu dibuat bagi menghalang gangguan binatang.

Kami dibenarkan untuk merakamkan upacara pengebumian.

“Jika tidak kerana serawan, dia masih berada di sini,” kata Kurup iaitu datuk Malini sambil menambah bahawa lebih ramai mangsa yang terkorban akibat serawan.

Bain, seorang lagi lelaki dari suku itu berkata penyakit tersebut telah membunuh lima anak-anaknya.

“Kami pernah mempunyai kira-kira 600 orang di kampung-kampung di sini, dan kita gembira. Kini kira-kira 400 daripada kami sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) terdapat kira-kira 300 Orang Asli di Sungai Kejar.

R.AGE menunjukkan gambar gejala penyakit itu kepada beberapa doktor dan mereka membuat kesimpulan bahawa bintik putih berkenaan adalah gejala seriawan mulut.

Seriawan merupakan penyakit pada mulut atau lidah.

Ia berlaku apabila sistem imun menjadi lemah oleh penyakit atau kekurangan zat makanan.

Para doktor berkata ujian terperinci perlu dilakukan untuk menentukan punca gejala.

Ahli antropologi Universiti Malaya, Kamal Solhaimi Fadzil yang telah melakukan kajian menyeluruh ke atas masyarakat Orang Asli di hutan Belum-Temenggor di Perak, berkata kadar kematian kanak-kanak di Sungai Kejar boleh menjadi setinggi 50 peratus.

Namun apa yang menghairankan, Jakoa Hulu Perak dan Pegawai Daerah Baling, Razali Khamis yang menyelia kawasan Sungai Kejar berkata tiada sebarang kematian dilaporkan di kalangan Orang Asli Sungai Kejar sejak 2014.

Katanya, beliau juga tidak pernah mendengar tentang serawan dan menyatakan keraguan terhadap cerita kematian kanak-kanak.

Razali juga merujuk pasukan R.AGE ke jabatan kesihatan daerah untuk maklumat lanjut, tetapi rekodnya adalah sama.

Pegawai Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Perak, Dr Noor Asmah Ahmad Shah Azizi berkata ia mungkin masyarakat Orang Asli itu tidak melaporkan kematian yang berlaku.

Berdasarkan rekod ia menunjukkan hanya satu kematian sejak 2013.

Kematian Malini, bagaimanapun hanya direkodkan selepas R.AGE meminta untuk mengadakan temu bual dengan jabatan kesihatan.

“Mungkin ada kematian yang tidak dilaporkan, tetapi ia tidak sebanyak seperti yang didakwa,” katanya.

Namun selain kematian Malini, R.AGE mendapati lebih banyak bukti mengenai kematian kanak-kanak Jahai.

Keladi, iaitu individu yang menjadi tuan rumah pasukan dokumentari ini menunjukkan sijil kematian anak perempuannya yang meninggal dunia akibat serawan pada 17 Mei tahun ini. - Mstar.

No comments: