Monday, 9 November 2015

KJ LARANG KKM SERBU PREMIS DAN RAMPAS VAPE


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan melarang pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari menyerbu dan merampas barang-barang serta stok cecair perisa rokok elektronik (vape) yang dijual di premis vape.


Ini kerana Khairy menyifatkan bahawa tindakan yang diambil oleh pihak KKM itu sebagai suatu tindakan terburu-buru, sedangkan jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh KKM belum lagi bermesyuarat dan membuat keputusan mengenai isu vape ini. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy juga turut menegaskan supaya serbuan keatas premis yang menjual cecair perisa rokok elektronik (vape) ini dihentikan terlebih dahulu, sehingga pihak berkenaan dapat selesai masalah berkaitan vape yang dikatakan memberi kesan buruk kepada kesihatan.

"Sekarang KKM sudah mengumumkan jawatankuasa khas ditubuhkan jadi kita berharap sehingga jawatankuasa ini bermesyuarat dan buat keputusan jangan diteruskan rampasan terhadap kedai," katanya.

Beliau tidak bermaksud untuk menyokong tindakan anak muda sekarang terutamanya, untuk meneruskan trend menghisap rokok elektronik. Namun bagi pendapat Khairy, sepatutnya bahan tersebut tidaklah wajar untuk diharamkan akan tetapi penjualan cecair berkenaan seadilnya diwujudkan satu kawal selia yang lebih jelas bagi mengawal penjualannya.

"Mereka sudah membuat pelaburan yang besar tiba-tiba segala stok dirampas, ini menyusahkan mereka. Untuk kepentingan umum kita faham ini isu kesihatan tetapi kita minta ada kawal selia.

"Saya harap KKM akan membuat peraturan secepat mungkin ini supaya semua orang faham dan jelas dari segi peraturan contohnya sebanyak mana nikotin boleh diletakkan, jadi pengusaha vape jelas apa yang boleh dan tidak boleh dibuat. Selagi mereka patuh undang-undang maka mereka tidak boleh
diserbu," katanya. -  UtaraNews.com

Post a Comment