Wednesday 25 November 2015

GAGAL JAWAB SOALAN SPM KERTAS 1 ADD MATHS PELAJAR CEMERLANG BUNUH DIRI


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar lelaki yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 dilaporkan membunuh diri semalam selepas dipercayai tertekan dan kecewa berikutan gagal menjawab soalan Kertas 1 Matematik Tambahan.

Memetik laporan akhbar New Straits Times, mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah itu ditemui tergantung di dalam biliknya dengan tali leher dilehernya di sebuah pangsapuri di Taman Jinjang.

Berita kematian pelajar yang juga merupakan pelakon drama tempatan berbahasa Cina ini turut menggemparkan seluruh warga sekolah dan rakan-rakannya.

Selain itu, dilaporkan bahawa guru-guru yang mengenali pelajar yang berusia 17 tahun itu turut menyifatkan mangsa sebagai pelajar cemerlang.

Kejadian yang mengejutkan ramai pihak itu turut disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Sentul Supt Mohd Sukri Kaman.

“Mangsa memberitahu gurunya bahawa dia tidak dapat jawab (soalan Matematik Tambahan).

“Mangsa juga berkata mahu pulang ke rumah tetapi guru menasihatinya agar bertenang. Namun, mangsa enggan dan terus pulang ke rumah,” kata Mohd Sukri dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd Shukri, bagaimanapun mangsa kemudian tidak hadir ke sekolah pada waktu petang untuk menduduki ujian Kertas 2 subjek tersebut menyebabkan gurunya bimbang dan menghubungi keluarga pelajar tersebut.

“Guru tersebut menghubungi ibunya untuk bertanyakan mangsa. Ibu pelakon tersebut yang bekerja di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur kemudian meminta ibu saudara mangsa untuk memeriksa.

“Ibu saudara mangsa menemui remaja itu mati di dalam biliknya dengan tali leher yang diikat di lehernya terikat pada bingkai tingkap,” jelas Mohd Sukri lagi.

Difahamkan bahawa mayat pelajar terbabit telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan pihak polis dilapor menolak sebarang unsur jenayah dalam kes ini. –Kedahnews.com

No comments: