Wednesday 4 November 2015

BAHU CALON SPM DIKELAR BERGADUH DENGAN RAKAN SEKELAS


IPOH - Seorang pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cedera di bahu kanan akibat dikelar dengan pisau oleh rakan sekelasnya dalam pergaduhan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata seorang guru wanita berumur 40 tahun ternampak sekumpulan pelajar berkumpul dan seorang daripadanya mengacukan pisau kepada mangsa, kira-kira 10 pagi Selasa.

"Mangsa kemudian berlari kepada guru itu dengan berlumuran darah di bahu kanannya. Guru berkenaan kemudian pergi ke bilik guru untuk minta bantuan guru lain," katanya.

Beliau berkata mangsa kemudian dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.

Katanya, ketika kejadian semua pelajar tingkatan lima baru selesai menduduki peperiksaan SPM Kertas 1 Bahasa Inggeris yang diadakan dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi.

Menurut beliau daripada maklumat awal, punca kejadian adalah pergaduhan mulut antara suspek dan mangsa.

Shuhaily berkata kira-kira tiga bulan lepas suspek tidak hadir ke sekolah kerana sakit dan memerlukan rawatan susulan di Kuala Lumpur.

"Suspek datang ke sekolah baru dua hari hanya untuk menduduki peperiksaan SPM," katanya. - BERNAMA

No comments: