Sunday 4 October 2015

AWAS!! JEREBU BERACUN DI RUANG UDARA KITA


Jerebu bukan sekadar asap biasa !! Pakar-pakar alam sekitar dan kejuruteraan kimia memberi amaran jerebu itu amat bahaya kerana ia mengandungi campuran gas beracun dan bahan kimia termasuk magnesium. 


Bahan-bahan itu mampu menghakis permukaan paru-paru sekali gus melumpuhkan sistem pernafasan manusia. 


Campuran bahan terampai tersebut menjadi lebih berbahaya kerana ia bergabung dengan asap-asap kilang dan kenderaan yang mengandungi plumbum serta nitrogen oksida yang boleh menyebabkan gangguan otak dan berbahaya kepada paru-paru.


Indeks pencemaran udara (IPU) 


IPU diperoleh daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. 


IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut: 

Nilai IPU Status 
0 - 50 - Baik 
51- 100 - Sederhana 
101- 200 - Tidak sihat 
201- 300 - Sangat tidak sihat 
301- 500 - Berbahaya 

Anda perlu mengikuti perkembangan semasa melalui media massa (akhbar, televisyen dan radio) untuk mengetahui tahap jerebu semasa di tempat anda supaya dapat mengambil langkah-langkah pencegahan. 
Jerebu mengancam kesihatan anda.


Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu: 


* Kanak-kanak 
* Orang tua 
* Mereka yang mengalami penyakit asma, bronkitis, radang paru-paru, penyakit paru-paru yang kronik, jantung dan alahan 
* Perokok 
* Mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah. 


Tanda dan gejala kesan jerebu terhadap kesihatan 


Kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah: 


* Gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk 
* Sukar bernafas atau sesak nafas 
* Mata pedih dan berair 
* Hidung berair dan kerap bersin 
* Kulit badan terasa gatal-gatal 
* Sakit-sakit dada 

Dapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran sekiranya anda mempunyai tanda-tanda dan gejala tersebut. 


Cegahlah penyakit akibat jerebu. Ikuti nasihat berikut: 

* Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk 


* Mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan 


* Penutup hidung hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dalam kumpulan berisiko tinggi 


* Perokok yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan sanak saudara yang berpenyakit jangan merokok di dalam rumah 


* Sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah 
* Kurangkan aktiviti sukan di luar rumah. 


* Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih 


* Sekiranya kenderaan anda berhawa dingin, sila gunakannya 


* Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak 


* Perokok dinasihatkan supaya tidak merokok apabila keadaan udara tidak sihat (iaitu IPU yang melebihi 100)

 
* Mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan mengambil cuti di luar kawasan yang berjerebu sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya di kawasan mereka. SUMBER

1 comment:

Peminat topix said...

betul ke jerebu beracun...stakat ni belum lagi di istiharkan jerebu beracun di televisyen dan akhbar...bru dapat info dari twitter dan whatsapp