Sunday 30 August 2015

KENAPA ONG LIAN KHEONG TIDAK SERTAI BERSIH 4


RENCANA : Kenapa saya tidak turun sertai Bersih 4 – Ong Lian Kheong

Published: 26 August 2015 8:01 AM

Ramai sekali yang marah saya apabila saya bertegas tidak bersetuju dengan perhimpunan kali ini. Ramai juga yang memandang serong terhadap pendirian saya mengenai Bersih 4. Bermula daripada himpunan Bersih pertama hingga ke-3, saya tidak pernah terlepas untuk tidak hadir.


Di awal penubuhan Bersih, dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang sedia untuk menggalas amanah rakyat bagi memastikan pilihan raya di negara kita berlangsung dan berjalan secara adil dan saksama.

Selepas berjayanya dan hangat sambutan ke atas himpunan Bersih yang pertama itu pada 2007, Bersih semakin dipandang dan diangkat oleh masyarakat umum. Tidak ketinggalan, badan-badan hak asasi antarabangsa juga cuba untuk membina hubungan dengan Bersih.

Malang sekali, wujud pula anasir-anasir daripada “bapak kapitalis” nombor satu dunia, Amerika Syarikat yang juga cuba mendapatkan Bersih untuk membina jambatannya dengan kumpulan yang semakin “menang” itu.

Menang, bukan bermakna mereka berjaya dalam tuntutan yang mereka minta daripada kerajaan, tetapi "menang" bermaksud mereka berjaya mendapatkan perhatian rakyat umum dan diminati serta mendapat kepercayaan utuh rakyat agar Bersih boleh diharap sebagai badan yang akan membawa isu-isu rakyat berkaitan ketelusan pilihan raya.
Kita puji usaha Bersih generasi pertama ini kerana keikhlasan mereka dan juga kesungguhan mereka memerah keringat dan berhempas pulas membawa kesedaran rakyat ke tahap lebih tinggi dalam konteks pemahaman rakyat berkenaan sistem pilihan raya dan menimbulkan rasa berani dan yakin rakyat untuk menuntut hak mereka sebagai pengundi.

Selepas usaha-usaha hebat yang mulanya dipelopori generasi Bersih 1 mendapat perhatian banyak pihak, Bersih dengan gabungan pelbagai pihak itu mula memikirkan satu jalan untuk membina satu badan yang lebih sistematik dan tersusun organisasinya dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang serius serta membina pejabat dan membayar kakitangan untuk menggerakkan Bersih dengan lebih serius dan terancang.

Lebih daripada itu, mereka juga memilih jawatankuasa melalui pilihan raya dalam kalangan NGO dan NGI. Bersih 2 tertubuh dengan jayanya dan seterusnya melahirkan protes yang lebih berjaya berbanding Bersih 1 dengan penyertaan yang lebih ramai pada 2011.

Banyak kedutaan asing juga berlagak prihatin dengan nasib menimpa Bersih dan isu rakyat Malaysia. Negara yang paling menunjukkan kesungguhannya untuk membantu Bersih adalah Amerika.

Amerika mula memberikan dana kepada Bersih secara tahunan dengan jumlah yang besar seperti yang tercatat dalam laporan sebuah badan di bawah kedutaan Amerika, NED.

Ia bukan setakat sebuah badan biasa tetapi sebuah badan yang banyak melakukan perkara tidak bertanggungjawab di negara-negara yang anti dengan Amerika seperti di Venezuela, Iran dan Russia.

NED mendanai kumpulan berbahaya yang cuba menimbulkan ketegangan di Venezuela dengan cara bersenjata. Mereka mendanai gerakan pembangkang yang ingin menjatuhkan Hugo Chavez kerana Hugo Chavez adalah satu-satunya presiden negara bukan Islam yang kaya dengan petroleum dan gas yang lantang bersuara menentang kerakusan Israel di Palestin dan melawan Amerika di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Akhirnya, NED dihalau oleh kerajaan Venezuela dan terbaru, Russia mengisytiharkan NED sebagai sebuah agensi CIA yang bertindak mengumpul maklumat bagi tujuan peperangan dan keganasan di negara itu.

Selepas himpunan Bersih 2 berjaya mendapat perhatian dunia dengan penyertaan 100,000 orang peserta yang majoritinya dikerah oleh parti PAS pada 2011 itu, dalam diam para jawatankuasa induk yang oportunis ini menjalin kerjasama erat dengan NED untuk mendapatkan dana yang jumlahnya ratusan ribu dolar setiap tahun bermula tahun tersebut.

Di dalam jawatankuasa Bersih, tiada pemimpin parti politik yang dibenarkan menganggotai majlis mesyuarat jawatankuasa dan memegang jawatan dalam Bersih 2 itu. Oleh demikian, baik PAS, PKR mahupun DAP memang tidak tahu menahu dengan dana itu sehinggalah perkara ini terdedah sendiri hasil buah mulut media dan propaganda kerajaan.

Pendedahan demi pendedahan oleh media pada ketika itu berjaya membuktikan Bersih menerima dana daripada NED dan NED terpaksa menulis perkara itu dalam laman sesawangnya.

Jawatankuasa berelaun, penginapan di hotel besar untuk mesyuarat dan program, maka mulalah ramai golongan yang cuba merebut kerusi dalam jawatankuasa Bersih. Pada pilihan raya Bersih 3, akhirnya Bersih terlepas kepada tangan-tangan korporat yang menjadi sebahagian daripada Bersih 3.

Bukan susah, penyertaan ke dalam Bersih adalah terbuka asalkan mereka ada NGO yang dibina atas nama syarikat. Ramai juga korporat yang daripada pemikiran Barisan Nasional (BN) selama  ini, secara tiba-tiba berminat menjadi sebahagian daripada Bersih dengan memeterai perjanjian dengan Bersih 3, dan masuk bertanding untuk jawatan dalam Bersih walaupun NGO mereka hanya ada dua tiga kerat sahaja.

Jangan terkejut, lobi-melobi ketika pilihan raya Bersih 3 adalah lebih teruk berbanding lobi melobi pemilihan PKR atau DAP.

Nama-nama aktivis seperti Pak Syed Ibrahim, Ahmad Syukri Razab, Badrul Hisham (Che Gu bard) terus tersingkir daripada senarai walaupun umum tahu mereka merupakan hardcore dalam perhimpunan Bersih yang berjaya selama ini.

Sebaliknya, nama-nama korporat yang kita tidak pernah dengar selama ini, yang mempunyai pangkal nama dengan panggilan “datuk” dan “doktor” secara tiba-tiba naik menjadi pemimpin utama dalam Bersih 3.

Mujurlah nama Maria Chin berjaya memenangi jawatan pengerusi Bersih sekali gus membawa Bersih dalam penghayatan rakyat marhaen kebanyakan. Namun para jawatankuasa, masih dikuasai golongan bukan aktivis sebaliknya korporat kapitalis.

Peranan golongan korporat dalam Bersih 3 ini sedikit sebanyak berjaya mematikan usaha Bersih dengan cara protes jalanan. Hampir-hampir Bersih 3 mengumumkan menolak protes jalan raya kononnya cara ini tidak profesional dan tidak akademik. Namun, pendirian ini banyak ditentang oleh jawatankuasa pemandu Bersih yang sejak awal seperti Hishamudin Rais dan Syukri Razab.

Sudah mula ramai politikus mencari peluang untuk menaikkan nama dengan cuba melobi diri mereka menjadi sebahagian daripada jawatankuasa badan induk itu. Tidak terlepas juga, para korporat yang cuba mencari pengaruh dengan menubuhkan NGO-NGO akademik bagi tujuan  melayakkan diri bertanding untuk jawatan-jawatan yang ada dalam Bersih pada pemilihan Bersih ke-3.

Selepas mereka berada dalam Bersih 3, mereka boleh melobi dan berkenalan dengan para duta khususnya dari Amerika dan Eropah bagi tujuan meminta geran untuk projek-projek tertentu. Maka kedudukan mereka di dalam Bersih bukan lagi untuk membela kepentingan rakyat, sebaliknya membina kepentingan peribadi dengan pihak tertentu bagi mendapatkan projek-projek melalui skim dan geran setiap kedutaan.

Namun, saya masih meletak kepercayaan kepada Bersih 3 untuk membawa tuntutan rakyat ke jalan raya. Malangnya, selepas melihat Bersih 4 ini, secara tiba-tiba Bersih menukar tuntutannya daripada membela rakyat kepada membela politikus, ditambah pula dengan mendapat sokongan pimpinan BN sendiri untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semata-mata demi memastikan BN boleh memerintah lebih lama jika Najib ditukar kepada seorang lagi pemimpin BN, saya sudah mula mahu ingkar.

Malahan, lebih menyedihkan saya ialah, pada himpunan Bersih yang lalu, ada antara jawatankuasa Bersih yang tidak langsung turun ke jalan raya sebaliknya didapati berada di restoran-restoran mewah sambil berbincang agenda peribadi tatkala rakyat berhadapan dengan rejim.

Ini membuatkan hati saya tertanya-tanya, atas sebab apakah mereka menjadi jawatankuasa Bersih? Mereka mendapat elaun dan kemewahan, disaat rakyat yang turun ke jalan dan berhadapan dengan pembantaian? 
Menggunakan nama rakyat bagi tujuan mendapatkan kepentingan peribadi sendiri?

Dan apabila “pemberi dana” meminta mereka membentangkan laporan, kamu mendakwa ia adalah kejayaan kamu sedangkan rakyat yang melalui saat-saat cemas dan sukar itu.

Maka saya, memilih untuk tidak lagi turun ke perhimpunan anjuran Bersih!!

Published: 26 August 2015 8:01 AM

No comments: