Tuesday, 16 June 2015

ISU FARAH ANN : APA KATA USTAZ FATHUL BARI



1. Hukum keWAJIPAN Aurat merupakan hal yang tidak diragui lagi. Bahkan merupakan satu kemunafikan jika orang islam sendiri mempersoalkan kewajipannya. Firman Allah, maksudnya: "Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka…" [QS. An Nur: 31]

2. Sebenarnya, tidak wajar untuk kita fokus hanya kepada isu Farah Ann sedangkan atlit sukan yang lain, artis, pemimpin, penjawat awam@swasta dan masyarakat Islam secara umumnya juga perlu diingatkan serta difahamkan tentang kewajipan aurat. Sikap selektif tidak akan menyelesaikan isu ini sebaliknya hanya akan membawa kepada aib mengaibkan antara satu dengan yang lain.

3. Jadi, saya nasihatkan diri saya dan kita semua melihat isu aurat ini secara telus melalui perspektif agama yang merentasi apa jua sentimen. Kerana hukum aurat tidak dibataskan dengan status, pangkat, pingat emas, populariti dan lain-lain. Sebaliknya ia adalah hukum yang Allah turunkan ke atas semua umat Islam. Maka, bahaskan secara telus, ikhlas dan berhikmah.

4. Apabila isu aurat dibangkitkan dalam kes Farah Ann; cadangan supaya wanita tidak terlibat dalam sukan sebegini merupakan cadangan yang terbaik kerana mengambil langkah berhati-hati demi melaksanakan tuntutan agama. Namun, jika ianya tidak dipersetujui, saya ingin cadangkan supaya pihak kerajaan sediakan juga alternatif pakaian untuk atlit wanita negara yang ingin menjaga aurat mereka. Walaupun tidak perlu kepada paksaan, namun penjelasan tentang kewajipan aurat tetap perlu menyeluruh. Merupakan satu hal yang menyedihkan jika pihak kerajaan tidak boleh memperjuangkan alternatif pakaian yang menutup aurat bagi atlit sukan negara lelaki mahupun perempuan.

5. Untuk Farah Ann, tahniah atas kemenangan. Namun, dengan kemenangan itu, janganlah menjadikan kita memandang remeh teguran masyarakat umum tentang etika berpakaian saudari. Saudari mungkin memiliki alasan yang tersendiri. Namun, hukum tetap hukum dan ianya tidak akan berubah walaupun berjuta pingat emas diperolehi. Alangkah baiknya jika saudari terima nasihat-nasihat tersebut dengan positif dan berusaha untuk memperbaiki kekurangan. Moga Allah berikan kekuatan kepada saudari.

6. Manakala kepada yang menasihati; saya nasihatkan supaya menjaga lisan. Nasihat perlu dibina atas kasih dan sayang serta bertujuan untuk memperbetulkan kesilapan bukan melahirkan kebencian. Penyebaran gambar-gambar yang mendedahkan aurat dan perbincangan tentang tubuh badan orang lain adalah hal yang mengaibkan. Dan tentunya termasuk dalam maksud hadis Nabi saw: "barangsiapa yang menutup aib seorang muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat". (Riwayat Abu Daud, no:4946)

Dr. Fathul Bari bin Mat Jahya
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia


ATLET gimnastik artistik wanita berbangsa Melayu dan beragama Islam, dah ramai yang mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa, terutamanya di rantau Asia Tenggara... Mungkin dulu kerana kita tidak didedahkan lagi dengan teknologi android dan IOS... maka umum tidak ada medium untuk mengkritik  secara terbuka terutamanya bab pakaian sukan untuk atlet wanita berbanding hari ini.....

Post a Comment