Saturday, 9 May 2015

TABUNG HAJI CADANG JUAL SEMULA TANAH DI TRX


KUALA LUMPUR, 9 Mei – Lembaga Tabung Haji yang bercadang untuk menjual tanahnya di Tun Razak Exchange (TRX) telah menerima tiga tawaran daripada pihak yang berminat membeli tanah tersebut.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Tabung Haji sedang menimbangkan tawaran-tawaran tersebut yang akan dimuktamadkan dalam masa dua minggu.
Abdul Azeez berkata, cadangan penjualan berkenaan dibuat atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengelak penyebaran fitnah secara berterusan, selain meredakan persepsi kurang baik di kalangan pendeposit.
“Salah satu pembeli telah menawarkan RM188.5 juta, iaitu harga yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), ditambah dengan keuntungan sebanyak RM5 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini bagi menjelaskan isu pembelian tanah di TRX.
Bagaimanapun, katanya, Tabung Haji masih menunggu harga tawaran yang lebih baik daripada dua pembeli yang lain itu.
Mengulas mengenai pembelian tanah di TRX, beliau berkata, tanah berkenaan yang berkeluasan 0.66 hektar dibeli atas keputusan komersil dan bukan untuk ‘bailout’ atau menyelamatkan 1MDB.
Menurutnya, penilaian dilakukan berdasarkan harga semasa oleh penilai profesional Jones Lang Wootton.
Abdul Azeez berkata, tawaran penjualan tanah berkenaan telah dibuat oleh 1MDB pada April 2013 pada harga RM220 juta dan selepas dua tahun dan dua sesi penilaian, ahli lembaga pengarah sebulat suara bersetuju dengan pembelian tersebut yang dimuktamadkan pada bulan lepas.
Pembelian tanah berkenaan, katanya, diunjurkan berpotensi memberikan pulangan keuntungan sebanyak sembilan peratus setahun, menepati sasaran pulangan pelaburan Tabung Haji sekurang-kurangnya enam peratus setahun.
Katanya lagi, jika dilihat kepada nilai pembangunan kasar tanah berkenaan pada RM828 juta, ditolak kos pembangunan kasar sebanyak RM650.5 juta, Tabung Haji mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM177.5 juta.
Menurut beliau, penilaian tanah berkenaan pada RM2,774 sekaki persegi adalah lebih rendah berbanding beberapa transaksi yand dilakukan di kawasan berhampiran yang melebihi RM3,000 sekaki persegi, termasuklah pembelian tanah Kedutaan Jerman oleh Malaysian Resources Corporation Bhd.
Mengenai konflik kepentingan, katanya, perkara berkenaan tidak berlaku kerana Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail yang juga ahli lembaga pengarah 1MDB berkecuali dalam semua proses membuat keputusan berhubung pembelian tanah tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Johan Abdullah yang juga Pengerusi anak syarikat 1MDB, Edra Energy Sdn Bhd, serta panel pelaburan Tabung Haji, Tan Sri Abdul Samad Alias yang juga anggota panel penasihat 1MDB, juga tidak terlibat dalam proses kelulusan di pihak 1MDB.
Abdul Azeez memberi jaminan kepada pendeposit bahawa simpanan mereka dijamin penuh oleh kerajaan dan wang yang digunakan untuk pelaburan adalah agihan dana mengikut peruntukan aset yang telah diluluskan oleh lembaga pengarah, iaitu sekitar RM11 bilion.
Sehingga kini, katanya, Tabung Haji telah melabur RM5.6 billion daripada peruntukan tersebut.
Menurutnya, pulangan daripada pelaburan berkenaan digunakan untuk subsidi dan pengurusan haji selain pengagihan keuntungan melalui hibah bonus tahunan di mana Tabung Haji telah membayar purata lebih enam peratus sepanjang tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Tabung Haji menganggarkan subsidi haji tahun ini berjumlah sekurang-kurangnya RM120 juta dengan subsidi bagi setiap jemaah dianggarkan sebanyak RM7,290 bagi mengekalkan kos jemaah menunaikan haji pada RM9,980 berbanding kos sebenar yang berjumlah RM17,270. - MediaUMNO

Post a Comment