Tuesday, 26 May 2015

SIJIL HALAL SECRET RECIPE DITARIK BALIK


KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menarik balik sijil pengesahan halal syarikat Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd disebabkan pelanggaran prosedur pensijilan melibatkan kesalahan kebersihan dan amalan pengilangan (GMP) yang serius.


Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff melalui satu kenyataan yang disiarkan melalui Facebook rasmi mereka, penarikan sijil yang berkuatkuasa pada 7 Mei lalu itu walau bagaimanapun bukan disebabkan kesalahan penggunaan bahan haram dalam pemprosesan produk itu.

“Penarikan sijil halal tersebut tidaklah menghalang syarikat berkenaan untuk memohon semula Sijil Halal setelah tindakan pembetulan telah dibuat dan mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia," kata Jakim melalui akaun Facebook rasmi mereka.


Difahamkan, Jakim sudah memanggil syarikat itu dan mereka berjanji akan melakukan tindakan segera terhadap kesalahan yang dilakukan sehingga menyebabkan sijil halal ditarik balik.

Bagaimanapun, Jakim akan membuat penilaian semula terhadap permohonan tersebut berdasarkan pemeriksaan dan pematuhan terhadap Malaysia Standard 1500: 2009 dan Manual Proseder Pensijilan Halal Malaysia 2014.

"Jakim memandang serius terhadap perkara ini dan mengingatkan setiap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia agar sentiasa mematuhi piawaian dari semasa ke semasa.

"Tindakan juga akan diambil tanpa kompromi kepada mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran pematuhan piawaian pensijilan halal," kata Hakimah.

Sementara itu, pengamal media sosial melahirkan pandangan mereka sejurus selepas kenyataan ini dikeluarkan Jakim.

Nampaknya, isu ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya pengguna beragama Islam.  

Post a Comment