Wednesday 20 May 2015

NURDIANA PUAADI DILANTIK YDP MAJLIS DAERAH WANITA PERTAMA DI PERAK


IPOH: Kerajaan negeri menolak sebarang tindakan diskriminasi jantina bagi mengalas sebarang jawatan penting atau selaku pentadbir kanan dalam setiap pentadbiran  dan jabatan kerajaan di negeri ini.


Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir beberapa perubahan telah dilakukan seperti pelantikan jawatan penting yang turut digalas oleh kaum wanita.

“Kali ini turut diumumkan iaitu jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah yang baharu yang  digalas pula oleh seorang wanita,” katanya.

Ujar  Zambry lagi, pelantikan kaum wanita sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah hari ini merupakan yang dipertama di Perak.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga sentiasa memberi fokus kepada pelbagai perubahan bagi memperbanyakkan pentadbir kanan yang melibatkan wanita di negeri ini.

“Diharapkan dengan pelantikan ini dapat memberikan satu lagi peluang dan tanda komitmen daripada kerajaan negeri untuk memastikan supaya kaum wanita juga diberi tempat dalam mentadbir,” katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri tidak akan melaksanakan sebarang elemen diskriminasi dalam menentukan kelayakan setiap individu menjawat sebarang jawatan.

“Usaha-usaha untuk memberikan peluang sama ada pegawai lelaki dan wanita akan tetap diteruskan berdasarkan penilaian kepada kemampuan individu tersebut mengalas tugas diamanahkan,” katanya lagi.

Terdahulu beliau menyerahkan sijil pelantikan kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah yang baharu iaitu Nurdiana Puaadi sejurus selepas sidang media mesyuarat exco hari ini.

Menurut Nurdiana Puaadi tugas baharu yang diamanahkan ini akan dijalankannya sebaik mungkin selain meneruskan perancangan dan pendekatan pembangunan sedia ada.

“Saya akan cuba meneruskan perancangan yang sedia ada selain daripada menarik lebih banyak peluang dalam bidang perindustrian dan pelaburan ke Batu Gajah,”katanya.

Beliau yang merupakan Yang Dipertua  Majlis  Daerah wanita pertama yang dilantik di Perak turut menyifatkan tugas tersebut  sebagai satu amanah yang besar untuk digalas dan dilaksanakan.

“Kerajaan ternyata komited menjalankan pendekatan 30 peratus kaum wanita dalam pentadbiran dan saya sangat bersyukur dan gembira,” katanya lanjut.

- Perak Today

No comments: