Wednesday 20 May 2015

ARAPAIMA GIGAS AMAZON 'SESAT' DI SUNGAI JOHOR KEJUTKAN KAKI PANCING


KAKI pancing di Sungai Johor dikejutkan dengan penemuan bangkai ikan gergasi air tawar terbesar di dunia yang terdampar di tebing sungai berkenaan berhampiran Balai Trafik Lama Jalan Omar-Jalan Tembioh, petang kelmarin.

Tambah aneh, spesis yang dikenali sebagai ikan naga atau nama saintifiknya Arapaima Gigas ini sebenarnya berasal dari Amazon, Amerika Selatan.
Bangkai ikan berukuran sebesar dua meter ini ditemui oleh penduduk yang kebetulan lalu di tebing sungai kira-kira 6.30 petang.
Ikan tersebut kemudian dibawa ke darat dengan bantuan empat lelaki dewasa, sekali gus menarik perhatian orang awam yang lalu lalang.
Bagaimanapun, tiada sebarang kesan kecederaan pada bangkai ikan yang boleh dikaitkan dengan punca kematiannya.
Sementara itu, seorang pemancing yang dikenali sebagai Roslan percaya berkemungkinan ikan tersebut datang dari kolam peliharaan individu tertentu.
“Memang ada kaki pancing yang bercerita umpan mereka pernah disentap ikan besar yang mempunyai badan kemerahan, tetapi tidak menyangka ia adalah arapaima.
“Berkemungkinan ikan itu terlepas dari kolam peliharaan individu ketika banjir besar pada 2006, 2007 atau pemiliknya melepaskannya ke sungai kerana tidak mampu menjaganya,” katanya.
Kebiasaannya, ikan naga ini memakan ikan-ikan lain dan boleh mengakibatkan ikan-ikan kecil pupus.
– MYNEWSHUB.CC

No comments: