Friday, 15 May 2015

LAGI RAKYAT MALAYSIA DICULIK DI SANDAKAN

Culik Rakyat Sabah
KUALA LUMPUR – Episod penculikan di Sabah yang reda selepas pembebasan Lans Koperal Zakia Aleip, 26, pada 7 Mac lalu berulang apabila dua rakyat tempatan diculik dipercayai didalangi oleh kumpulan Muktadil Brothers.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 7.40 malam ini di Restoran Ocean King, Jalan Tanah Merah, Sandakan.
Katanya, mangsa merupakan seorang wanita yang juga pengurus di restoran berkenaan, Thien Nyuk Fun, 50, dan seorang lelaki, Bernard Ghen Ted Fen, 39, yang merupakan konsultan elektronik di Kemboja.
“Empat orang penculik berpakaian celoreng yang bersenjatakan dua laras rifel M16 dan sepucuk pistol telah naik ke restoran ber­kenaan sebelum melarikan kedua-dua mangsa berkenaan.
“Deskripsi bot tidak diperoleh. Maklumat risikan awal percaya penculikan itu dilakukan oleh kumpulan Muktadil Brothers,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kes berkenaan menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan di zon berkenaan yang dianggap semakin kukuh sebaik sahaja Zakia berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas 238 hari ‘hidup’ bersama penculik, dipercayai ‘disembunyikan’ di pulau-pulau terpencil di selatan Filipina.
Pada 12 Julai lalu, Zakia dilarikan sekumpulan lapan lelaki lengkap bersenjata api dalam satu serangan hendap di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna. Apa yang menyedihkan, rakan setugasnya, Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, meninggal dunia dalam ‘adegan’ berbalas tembakan.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, kesemua suspek datang dari arah tangga sisi belakang restoran dan terus menuju ke arah mangsa yang duduk di meja yang berlainan sebelum bertindak menarik kedua-dua mangsa secara paksa.
“Kedua-dua mangsa terus dibawa menaiki bot laju menuju ke arah laut lepas. Kesemua saksi dan pekerja telah dikumpulkan untuk diambil keterangan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, pihak Kawasan Ke­selamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang diketuai oleh Komandernya, Datuk Abdul Rashid Harun turut berada di tempat kejadian bersama Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Zabidi Md. Zain.
“Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dikerahkan untuk membuat operasi memburu di laut sehingga ke sempadan.
“Helikopter milik Maritim Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga diarahkan untuk memintas suspek yang menggunakan bot laju tersebut pada malam ini juga,” katanya.

Post a Comment