Thursday 30 April 2015

GST OH GST


Batalkan GST : Antara Auta dan Fakta

Akhirnya GST pun jadi bahan untuk jatuhkan PM...

1. Cadangan membatalkan GST bermaksud mahu mengembalikan sistem percukaian lama iaitu SST. Apakah tujuan pencadang ini? Untuk menurunkan harga barangan? Untuk mengurangkan beban rakyat? Atau untuk apa?


2. GST atau SST yang membebankan rakyat? Tidak ada pakar percukaian dunia yang menyatakan SST adalah kaedah cukai yang lebih baik daripada GST. Kenapa?

3. FAKTA pertama, dalam GST, cukai TIDAK menjadi sebahagian daripada kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan. GST tidak seperti SST yang menjadikan cukai sebahagian daripada kos barangan dan di'mark-up' bersama dengan harga barang di setiap peringkat sebelum dijual kepada pengguna. Bila cukai tidak menjadi sebahagian daripada kos, kos pengeluaran menjadi lebih rendah untuk peniaga, seterusnya harga kepada pengguna juga sepatutnya menjadi lebih rendah kerana tidak ada kesan CUKAI BERGANDA dan CUKAI BERTINDIH ke atas pengguna.

4. FAKTA kedua, GST baik untuk rakyat kerana harga dan untung peniaga dapat dianggar oleh kerajaan berbanding semasa SST. Semasa SST harga susah dianggar maka, agak susah untuk kerajaan mengambil tindakan ke atas peniaga yang tamak dan mengambil untung berlipat kali ganda menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

5. FAKTA ketiga, GST juga baik untuk peniaga yang jujur kerana apabila mereka boleh menuntut cukai input, kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan mereka dapat dikurangkan. Harga mereka dengan itu akan menjadi lebih kompetitif.

6. FAKTA keempat, GST `tidak baik dan zalim' hanya kepada peniaga yang menipu, yang mengelak cukai, yang tidak berdaftar, yang menjalankan peniagaan yang diragui dan haram kerana ruang untuk menipu lebih sukar di bawah GST. Peniaga sukar melarikan diri dari dicukai, justeru dianggarkan pendapatan melalui GST jauh lebih baik drpd SST, iaitu tambahan sekitar RM 10 bilion

7. BATALKAN GST bermaksud

i. bersedia membenarkan rakyat dicukai secara berganda dan bertindih sehingga 26%

ii. bersedia membenarkan peniaga mengambil keuntungan berkali-kali ganda kerana sukar menguat kuasakan Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan ke atas mereka

iii. bersedia merelakan peniaga menipu hasil dan harga barangan, mengelak dari membayar cukai dan mengutip cukai terselindung daripada rakyat tetapi tidak perlu membayar kepada perbendaharaan negara

iv. bersedia membiarkan pekerja asing tidak dicukai

v. bersedia jika pendapatan/hasil negara berkurangan dan perbelanjaan negara dikurangkan

vi. bersedia jika agensi penarafan, agensi pelaburan dan badan kewangan dunia menurunkan penarafan kewangan negara

vii. bersedia melupuskan perbelanjaan bagi melaksanakan GST

8. Hakikatnya GST secara jangka masa panjang akan menguntungkan semua, rakyat, peniaga & negara. Ini diakui pakar ekonomi dunia. FAKTA: Kajian di New Zealand, Kanada dan Australia menunjukkan kenaikan harga di peringkat awal pelaksanaan adalah sementara kerana pelbagai faktor, termasuk peniaga yang mengambil kesempatan.

9. Di Malaysia, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan harga barangan tidak turun, FAKTA:-

i. barangan yang tidak dicukai semasa SST

ii. barangan yang dikecualikan GST (exempted) kerana cukai input tidak boleh dituntut

iii. stok lama/stok dalam tangan kerana telah dikenakan SST

iv. pembekal tidak menuntut SST ke atas stok lama/atas tangan ini daripada Kastam dan mengenakan GST ke atas barangan yang dijual kepada peruncit. Setakat ini hanya 3 daripada 75,000 pembekal yang layak menuntut SST mengemukakan tuntutan, bermaksud hanya 3 yang memanjangkan manfaat GST kepada peruncit dan bakinya menjual kepada peruncit pada harga yang lebih tinggi

v. pembekal yang tidak bertanggung jawab, mengambil kesempatan menjual kepada peruncit dengan harga yang lebih tinggi menyebabkan peniaga tiada pilihan selain menjual pada harga yang tinggi

vi. pembekal menuntut semula SST, tetapi selepas harga dinaikkan dan mengenakan GST

vii. salah tafsir tentang pelaksanaan atau kesilapan teknikal perisian GST

viii. peniaga yang mengambil kesempatan

ix. sabotaj oleh peniaga yang berkepentingan dan tamak

No comments: