Friday, 27 March 2015

LEMBAGA PENGAMPUNAN LUPUSKAN PETISYEN ANWAR


Dalam satu kenyataan menerusi portal berita hari ini, Lembaga Pengampunan telah melupuskan (disposed) petisyen dari keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sekaligus menunjukkan bukan satu berita baik untuk ketua pembangkang itu.

Peguam Anwar, N. Surendran difahamkan tidak mahu mengulas lanjut dan tidak memberi pendedahan mengenai keputusan tersebut, sementara menunggu pengesahan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Rabu.

Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh ketika ditemui media memberitahu bahawa pemberita petisyen itu telah dilupuskan (disposed), dan dengan itu katanya, kedudukan perlembagaan adalah jelas mengenai perkara itu.

Beliau menambah, afidavit yang dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri telah dihantar kepada pemohon.

Ketua pengarah tersebut merupakan sebahagian daripada urusetia Lembaga Pengampunan yang telah dipengerusikan oleh Yang di-Petuan Agong.

Melihat keputusan itu, permohonan Anwar untuk mendapatkan pengampunan berkemungkinan akan ditolak, seterusnya beliau akan menjalani hukuman lima tahun penjara selepas disabitkan atas tuduhan liwat.

Sekiranya ia berlaku, kerusi Parlimen Permatang Pauh yang diwakilinya akan diisytiharkan kosong dalam masa terdekat.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Asmabi Mohamad telah menerima keputusan tersebut dalam kamar dan beliau menetapkan hari pengesahan lanjut adalah pada Rabu.

Hari pendengaran permohonan Anwar untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman bagi menghadiri sidang parlimen yang berakhir pada 9 April ditetapkan hari ini. - UtaraNews.com

Post a Comment