Friday 9 January 2015

MENYAYAT HATI : KANAK-KANAK LELAKI LIHAT SENDIRI BAPA MERAUNG DISAMBAR BUAYA

DITEMUI: Penduduk kampung mengangkat mayat mangsa ke dalam perahu selepas ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Anak pasrah melihat ayahnya diserang buaya ketika memasang pukat di Kampung Soh.

SERIAN: Sungguh menyedihkan bagi seorang anak apabila hanya mampu melihat saat terakhir ayahnya terkapai-kapai dan meraung kesakitan akibat dibaham seekor buaya dalam satu insiden di Batang Samarahan, kelmarin.

Idris


Nursaujana Idris, 11, memberitahu insiden menyayat hati itu berlaku ketika dia bersama adiknya Mohd Sharizal, 8, dan ayahnya Idris Yaakup, 56, pergi ke sungai berkenaan di Kampung Soh di sini untuk memasang pukat sekitar jam 6 petang.

Menurutnya, sekitar jam 11.30 malam, ayahnya yang ketika itu berada di dalam sungai tiba-tiba menjerit kesakitan, sambil mengarahkannya membawa adiknya beredar dari sungai.

PILU: Ahli keluarga dan saudara mara mangsa ketika upacara pengebumian Idris di Kampung Panchor Baru Melayu, petang semalam.

“Ayah meraung kesakitan, serta sempat menyuruh saya dan adik menyelamatkan diri. Dan ketika itu, saya hanya dapat melihat ayah terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan mata.

“Saya sangat takut ketika itu, saya cuba memberanikan diri untuk menyelamatkan ayah, tetapi kejadian berlaku dengan pantas dan keadaan gelap menyebabkan saya terus membawa adik untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

TEMPAT KEJADIAN: Kelihatan pukat yang sempat dipasang oleh mangsa sebelum kejadian.

Tambahnya lagi, dia dan adiknya terpaksa meredah hutan hampir 30 minit untuk sampai ke kampung berdekatan.

“Saya mengetuk beberapa pintu rumah untuk mendapatkan bantuan, namun tiada yang berani membuka pintu kerana sudah lewat malam, malah ada juga yang menyangka kami penjahat.

“Mujur ada sebuah keluarga sudi membantu kami dan selepas mendengar penjelasan daripada saya, mereka terus memaklumkan penduduk lain serta menghantar kami balik ke rumah,” kata Nursaujana lagi.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan oleh pihak polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dengan bantuan anggota RELA dan penduduk kampung selepas itu.

Menurut jurucakap bomba, mayat Idris yang berasal dari Kampung Panchor di sini ditemui penduduk kampung kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa kali terakhir dilihat pada jam 9.40 pagi semalam.

“Difahamkan, bahagian atas badan mangsa iaitu kepala dan kedua-dua tangannya telah tiada, hanya separuh badannya sahaja yang masih ada dan pergelangan kaki kirinya juga terputus.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serian dan akan dikebumikan di kampung halaman pada hari ini (semalam) juga,” katanya.

Isteri mangsa, Nuraini, 40-an, yang bersedih dengan insiden tersebut memberitahu dia terkilan kerana suami serta anak-anaknya pergi ke sungai berkenaan tanpa pengetahuannya, walaupun sudah dihalang olehnya sebelum itu.

“Selalunya, kami pergi bersama-sama, tetapi semalam (kelmarin) saya demam dan saya juga meminta dia jangan pergi ke sungai itu. Entah bila pula dia dan anak-anak saya pergi ke situ.

“Walau apapun, saya reda dan bersyukur anak-anak kami selamat,” katanya yang enggan lagi bercakap dengan pemberita selepas itu. - Utusan Borneo 4 Jan 2015

No comments: