Friday, 19 December 2014

TUN DR. SITI HASMAH TOKOH SRIKANDI NEGARA


KUALA LUMPUR 19 Dis - Isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah telah menerima Anugerah Khas Tokoh Srikandi Negara setelah beliau banyak menyumbangkan jasa dalam bidang pendidikan hingga tertubuhnya banyak institusi pendidikan yang menyumbang kepada kelangsungan penyampaian ilmu pengetahuan kepada masyarakat.



Anugerah tersebut telah disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada majlis Malam Anugerah Tokoh Srikandi Negara malam tadi.

Rosmah ketika berucap pada majlis itu berkata wanita tidak perlu takut akan segala cabaran yang akan diterima dalam apa jua keadaan sekalipun dalam merealisasikan wanita sebagai pemangkin kepada pembangunan negara.

"Tidak kira dalam apa jua keadaan dan bidang yang anda ceburi, sekiranya dilakukan dengan penuh istiqamah dan bersungguh-sungguh, maka kita akan mampu menggapai kejayaan," katanya.

Menurutnya, pencapaian cemerlang perlu ditonjolkan oleh pemimpin wanita di negara ini selain melaksanakan amanah kepimpinan dengan sempurna serta bertanggungjawab dengan sebaiknya kepada masyarakat.

Tambahnya, wanita perlu mengemukakan kesemua kriteria tersebut supaya golongan wanita dapat diberi kepercayaan tanggungjawab di peringkat tertinggi ekoran wanita kini mampu memainkan peranan penting dalam menggerakkan pelbagai program dalam parti negara ini.

"Mereka diberi sepenuh kepercayaan untuk memikul amanah besar dalam menjayakan misi dan visi parti yang mereka sertai.

"Lebih-lebih lagi trend politik hari ini mengutamakan pencapaian dan keperibadian sebagai kayu pengukur seorang pemimpin politik," katanya semasa merasmikan majlis Anugerah Tokoh Srikandi Negara di sini.




Majlis yang merupakan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenangjung (GPMS) itu berperanan untuk menghargai peranan, jasa serta sumbangan di dalam pembangunan negara.

Sebanyak 15 tokoh menerima anugerah yang antara lain ialah penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, pendakwah bebas Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood, Pengerusi RAM Holdings Bhd Tan Sri Norma Yaacob dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Datuk Dr Maznah Hamid.

Kriteria pemilihan penerima anugerah adalah berdasarkan sumbangan mereka antaranya dalam bidang pendidikan, kemasyarakatan, politik, ekonomi dan kebudayaan.

No comments: