Wednesday, 24 December 2014

HELIKOPTER DIGUNAKAN UNTUK SELAMATKAN MANGSA BANJIR DI KUALA KRAI


KUALA KRAI : Lima ratus mangsa banjir terperangkap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai di sini, selepas kawasan pusat pemindahan sementara (PPS) itu dinaiki air sehingga tingkat tiga bangunan berkenaan sejak pagi tadi.


KEADAAN Pasar Besar Kuala Krai yang tenggelam.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata, air yang naik mendadak di kawasan itu menyebabkan semua mangsa banjir menyelamatkan diri naik ke tingkat empat bangunan berkenaan.

Katanya, pasukan penyelamat berdepan masalah untuk memindahkan kesemua mangsa kerana tiada lokasi yang sesuai untuk menempatkan mereka.

"Kini kita hanya mampu mententeramkan mereka supaya tidak panik.

"Kita akan cuba sedaya upaya membantu mereka," katanya. 

Dikhabarkan, Tiga helikopter akan digunakan untuk mengangkut bot bagi menyelamat mangsa yang terperangkap di Kuala Krai.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Thajudeen Abdul Wahab berkata, semua aset itu milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Kita sedia maklum rintihan mangsa yang terperangkap di sana, kita sedang lakukan yang terbaik.
"Semua cara digunakan untuk salur bantuan selepas bot gagal memasuki kawasan itu kerana arus yang deras.

"Cara berikutnya adalah memindahkan bot menaiki helikopter dan bantuan makanan dan keperluan lain juga melalui udara," katanya di sini.

Thajudeen berkata, ketika ini semua helikopter berkenaan masih belum dapat berlepas disebabkan faktor cuaca.

Katanya, sebaik kelulusan berlepas diperoleh, semua aset terbabit akan ke kawasan bencana dari Pengkalan Chepa secepat yang mungkin. - hmetro

No comments: