GERIK : Laluan di KM 63 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa dekat sini yang mengalami runtuhan sejak malam tadi masih ditutup buat semua kenderaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik Deputi Superintendan Jamalani Md Isa berkata, berikutan keadaan hujan sepanjang hari menyebabkan berlakunya kejadian runtuhan tanah dan membabitkan laluan utama di JRTB runtuh kira-kira 8.45 malam tadi.
"Runtuhan berkenaan membabitkan kedalaman sehingga 30 meter dan sepanjang 50 meter berlaku berikutan hujan lebat sejak awal pagi semalam.
"Setakat ini, pemantauan daripada agensi terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Bomba dan polis masih dijalankan dari masa ke semasa berikutan terdapat pergerakan tanah di kawasan berkenaan," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan ratusan kenderaan menggunakan laluan menghubungkan Kelantan dan Perak terkandas sejak hampir 20 jam lalu. Katanya, sehubungan itu pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan pihak berkuasa selain menggunakan laluan alternatif lain.
Dalam kejadian malam tadi, sebuah lori terjatuh ke dalam gaung selepas laluan dilaluinya di KM 63 JRTB berdekatan kawasan R&R Titiwangsa, dekat sini runtuh. Difahamkan, pemandu lori berkenaan terselamat kerana kenderaan itu jatuh secara perlahan-lahan ke dalam gaung berkenaan.
"Lima lori saya tidak dapat menghantar bekalan ayam hidup ke Kota Bharu. Satu daripadanya terjunam ke dalam gaung, bagaimanapun pemandunya selamat,” kata Zukila Draman, 36.
Zukila atau terkenal dengan panggilan Jukee Ayam adalah pemilik lori yang terjunam ke dalam gaung selepas jalan runtuh di Kilometer 63 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, 8.40 malam tadi.
No comments:
Post a Comment