Thursday 23 October 2014

SUBSIDI RON 95 YANG BERBEZA UNTUK SI KAYA DAN SI MISKIN... APA NI ???


Sebentar tadi Kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan satu mekanisme baru pemberian subsidi bagi harga jualan petrol R0N 95 mulai Jun 2015.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, harga jualan petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi adalah mengikut harga pasaran mulai Jun tahun hadapan.


“Mereka akan membayar harga RON95 mengikut harga pasaran. Misalnya kalau harganya RM2.58 sen seperti sekarang, maka RM2.58 sen lah. Mungkin bila harga minyak dunia turun, maka turunlah. Kalau naik terpaksalah (bayar lebih tinggi),” katanya.

Ahmad juga berkata sistem ini lebih adil sebab hanya golongan yang layak sahaja iaitu golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan terus menikmati RON95 pada harga subsidi.

Harga RON95 bersubsidi ketika ini ialah RM2.30 seliter. Ahmad berkata, mekanisme dan kaedah pelaksanaannya sedang diperhalusi Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri.

Satu Lagi Sistem Mengelirukan dan Membazir?

Salah satu tanda tanya ialah apakah aras pendapatan tinggi di negara ini yang akan digunakan dalam isu pengagihan subsidi petrol.

Berdasarkan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), kumpulan berpendapatan rendah bakal mencecah 7 juta orang tahun hadapan. Manakala menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam bengkel Bajet 2015 beberapa bulan lalu, menyatakan 60 peratus penghuni bandar adalah rakyat miskin bandar.

Berdasarkan fakta-fakta ini, andaian paling kovensional ialah hampir 80% rakyat Malaysia tergolong dalam kelompok berpendapatan rendah dan sederhana.

Justeru apakah berbaloi dari segi kos mewujudkan dan menyelenggara sistem subsidi petrol untuk 80% rakyat demi mengasingkan rakyat berpendapatan tinggi yang tidak sampai 20%?

Berapa banyak yang kerajaan boleh jimatkan melalui sistem ini? Berapa banyak pula kos sistem ini setiap bulan dan setiap tahun?

Sama ada sistem kupon atau penggunaan Mykad, ia tetap akan terdedah kepada kos pengurusan yang bukan sedikit. Jika terdapat 12 juta orang (7 juta merupakan penerima BR1M) yang dimasukkan dalam sistem tersebut dengan kos pengurusan RM 5 seorang untuk sebulan, kerajaan perlu membelanjakan kira-kira RM 600 juta setahun bagi kos pengurusan.

Sistem pemberian subsidi petrol berdasarkan kupon atau mykad akan terdedah kepada penipuan, ketirisan dan kos pengurusan yang tinggi. Ia juga akan menggalakkan penyalahgunaan kuasa dalam penentuan kumpulan yang layak mendapat subsidi.

Selebihnya, apabila kerajaan mula memberi kupon subsidi petrol ini adalah mustahil untuk kerajaan menghapuskan atau mengurangkan subsidi petrol pada masa hadapan seperti yang berlaku kepada BR1M.

Sebaliknya jumlah akan bertambah dan menjadi besar, maka tidak mustahil pada masa hadapan kerajaan akan menanggung subsidi yang lebih besar.

Apa Pilihan Lain?

Pada hemat saya kerajaan sewajarnya menyeragamkan harga petrol RON 95 tanpa membabitkan apa-apa sistem yang berasingan atau mewujudkan pemberian subsidi yang yang terpilih.

Kerajaan perlu faham kebimbangan orang ramai ialah kenaikan petrol akan meningkatkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan bukannya setakat masalah mengisi tangki petrol kereta sendiri semata-mata.

Justeru pemberian subsidi terpilih ini tidak akan menyelesaikan isu utama mengenai kenaikan harga petrol ini iaitu inflasi.

Jika kerajaan beranggapan bahawa tiada pilihan kecuali mengurangkan subsidi petrol ini secara drastik, maka tindakan yang paling wajar ialah menghapuskan terus subsidi petrol RON 95 ini.

Bagi mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, kerajaan boleh memberi “one shot” bantuan secara langsung sebanyak RM 1000 bagi satu keluarga yang memiliki kereta (tanpa mengambil kira berapa kereta mereka ada) bagi tujuan membantu penyesuaian.

Kaedah ini mungkin perit namun ia boleh mengelakkan pelbagai masalah pentadbiran dan politik pada masa hadapan.

Selain itu, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan cadangan lain seperti cadangan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad khir Toyo agar kerajaan mengekalkan harga subsidi tetapi mengenakan levi petrol kepada kenderaan 2000 cc dan ke atas dan kenderaan luar.

Levi Petrol ini boleh dikenakan melalui cukai jalan yang perlu dibayar setiap tahun manakala kenderaan luar dicaj terus semasa memasuki negara ini.

Apa pun kerajaan perlu sedar bahawa pelbagai sistem pemberian subsidi berkelompok termasuk diesel telah disalahgunakan secara besar-besar sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian lebih besar.

Hentikan sebarang penganugerahan kontrak pembangunan sistem subsidi petrol ini sebelum ia menjadi satu lagi bebanan kewangan negara dan bebanan politik Barisan Nasional. - mykmu