Saturday 11 October 2014

SAIFUDDIN NAFI ANJUR DISKUSI 'TANTANGAN FUNDAMENTALISME AGAMA'


KUALA LUMPUR, 11 Okt - Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) hari ini menafikan terlibat dengan penganjuran diskusi meja bulat anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) bertajuk 'Tantangan Fundamentalisme Agama di Abad Ini' pada 18 Okt ini.

Ketua Pegawai Eksekutif GMM Datuk Saifuddin Abdullah berkata kekeliruan berhubung penglibatan GMM dengan diskusi itu timbul selepas IRF mengiklankan program tersebut tanpa pengetahuan pihak GMM.

"GMM tidak terlibat, sejak awal dengan program tersebut. Kami bukan penganjur bersama.

"Penganjurnya IRF ingin menggunakan premis kami tetapi kami tidak menyediakannya kerana kami menganjurkan bengkel media pada tarikh dan masa yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Saifuddin berkata pihaknya juga telah memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung perkara itu.

Diskusi meja bulat anjuran IRF yang akan diadakan di Bukit Damansara bertujuan membincangkan soal fundamentalisme tentang agama melibatkan seorang tokoh liberal luar negara.

Ia bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk Jakim yang menjelaskan Malaysia berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Tahun 1996.