Saturday 11 October 2014

KLINIK GUGUR JANIN PASANGAN ZINA DI BUKIT MERTAJAM


SEBERANG PERAI –  Pemeriksaan rutin biasa oleh Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di beberapa buah klinik swasta di sekitar Bukit Mertajam, di sini petang kelmarin berjaya membongkar satu kegiatan haram yang menawarkan perkhidmatan menggugurkan janin.


Aktiviti tersebut dihidu sekumpulan pegawai dan anggota penguat kuasa KKM selepas menemui ubat yang jarang sekali digunakan di klinik swasta. Ubat tersebut disimpan di dalam sebuah peti ais premis berkenaan.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan di klinik berke-naan berjaya memberkas seorang wanita berusia 30-an yang dipercayai baru selesai melakukan pengguguran janin.

“Pada mulanya anggota kami berasa curiga selepas menjumpai ubat yang jarang boleh didapati di klinik swasta biasa.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik di situ kami menemui seorang wa­nita warga asing sedang berehat di atas katil. Selepas di­soal siasat, dia mengaku baru selesai melakukan prosedur ‘cuci kandungan’,” katanya.

Ujarnya, wanita berkenaan ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bukit Mertajam untuk pemeriksaan lanjut, manakala seorang doktor wanita berusia 50-an turut disiasat mengikut Seksyen 39 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan premis dan melanggar Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

“Pesakit berkenaan dise­rahkan kepada pihak polis untuk siasatan bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan ke­rana menggugurkan kan­dungan manakala doktor wa­nita yang juga pemilik klinik berkenaan akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat.

“Selain itu, kami turut merampas beberapa peralatan di klinik itu termasuk katil pesakit untuk siasatan lanjut,” katanya.