Friday 18 July 2014

MESUT OZIL TIDAK MENDERMAKAN WANG BONUS PIALA DUNIA KEPADA GAZA TETAPI UNTUK BIAYA PEMBEDAHAN 23 KANAK-KANAK BRAZIL


Ozil Biayai Pembedahan 23 Kanak-kanak Brazil

LONDON: Bintang Piala Dunia Jerman dan Arsenal, Mesut Ozil mendermakan £350,000 (RM1.91 juta) bonus kemenangannya ketika menjulang Piala Dunia untuk membantu 23 kanak-kanak Brazil yang memerlukan pembedahan. 

Wakil kepada pemain berusia 25 tahun itu, Roland Eitel mengesahkan perkara terbabit namun menafikan berita yang tersebar luas sebelum ini mengatakan Ozil turut mendermakan sejumlah wang kemenangannya kepada mangsa serangan Israel di Gaza. 

Begitupun, dia turut tidak menolak Ozil mungkin akan mendermakan wangnya bagi membantu penduduk Gaza mengharungi kemelut itu, selepas ini. 

“Dakwaan yang mengatakan Mesut mendermakan duitnya ke Gaza tidak benar,” kata Eitel. 

“Mungkin di masa depan, siapa yang tahu? Dia mendermakan duitnya untuk perkara yang baik di Brazil dan kini dia sedang bercuti.” 

Dalam laman Facebook miliknya, Ozil mengumumkan dia membayar caj pembedahan buat 23 kanak-kanak di Brazil selepas muncul juara dunia apabila menewaskan Argentina di final. 

“Ketika Piala Dunia sedang berlangsung, saya menanggung pembedahan untuk 11 kanak-kanak yang sakit di Brazil. Sejak kemenangan Piala Dunia, ia bukan saja membabitkan 11 pemain, namun seluruh pasukan. Saya kini meningkatkannya kepada 23,” tulis Ozil. 

Sekalipun sumbangannya kepada Gaza didapati tidak benar, Ozil yang memiliki darah campuran Turki dan beragama Islam dilaporkan pernah mencetus kontroversi apabila enggan bersalam dengan pegawai FIFA dari Israel. 

Sebelum ini, skuad Piala Dunia Algeria mendermakan £5.25 juta (RM28.6 juta) hadiah kejayaan mara ke pusingan kedua Piala Dunia kepada rakyat Gaza. 

Ia disahkan penyerangnya, Islam Slimani yang mengumumkan keseluruhan pasukannya mendermakan wang itu kerana “mereka lebih memerlukan berbanding kami.” - Agensi/17/7/14 (Berita Harian)

No comments: