Thursday 19 June 2014

AMUK GUNA PEDANG SAMURAI DI JPM : MUHADALENA DIBEBASKAN SEBAB 'OTAK MERENG' !!!

Muhdalena Mengamuk

PUTRAJAYA – Mahkamah Sesyen pada Khamis melepaskan Muhdalena Ahmad daripada empat pertuduhan berhubung kejadian amuk bersenjatakan pedang samurai di luar kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM), dua tahun lalu kerana tertuduh mengalami ketidaksempurnaan akal semasa kejadian itu.


Hakim Mohamed Kamil Nizam bagaimanapun memerintahkan agar Muhdalena, 30, ditahan di Hospital Permai, Tampoi, Johor untuk menerima rawatan psikiatri sementara mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau meminta Pendaftar Mahkamah untuk melaporkan kes itu kepada Urus Setia Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam keputusannya, Mohamed Kamil berkata selepas mendengar keterangan saksi dan berdasarkan nas undang-undang, beliau berpendapat pada imbangan kebarangkalian, semasa kejadian tertuduh mengalami kemurungan psikotik akibat daripada perkongsian khayalan yang menyebabkan dia tidak tahu tindakannya itu menyalahi undang-undang.

“Oleh yang demikian saya berpendapat bahawa pihak pembelaan berjaya membuktikan pembelaan ketidaksempurnaan akal mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan pada imbangan kebarangkalian,” katanya.
Mohamed Kamil juga berkata tertuduh semasa memberi keterangan tidak menafikan kesemua pertuduhan semasa dia dipanggil untuk membela diri, malahan mengaku dia berada di tempat kejadian.

Katanya semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, tertuduh juga mengaku memegang parang di tempat kejadian.

Beliau berkata kegagalan pembelaan membawa keterangan untuk menafikan pertuduhan serta wujudnya keterangan pengakuan oleh tertuduh, membuktikan tertuduh melakukan perbuatan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan pertama sehingga keempat.

“Bagaimanapun oleh sebab ketidaksempurnaan akal tertuduh, mahkamah melepaskan tertuduh di bawah Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Beliau berkata, keterangan pakar psikiatri yang memeriksa tahap mental tertuduh juga menyatakan bahawa tertuduh tidak sedar bahawa perbuatannya adalah salah di sisi undang-undang.

Mohamed Kamil berkata, selepas mendengar keterangan pakar itu dan laporan psikiatri, mahkamah berpuas hati tertuduh mengalami ketidaksempurnaan akal dan tidak berupaya untuk mengetahui sebab dan akibat perbuatannya.
Sementara itu peguam M Visvanathan yang mewakili Muhdalena ibu kepada dua anak berumur empat dan tiga tahun itu berkata anak guamnya akan dihantar ke Hospital Permai pada Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh ketika ditanya sama ada pendakwaan akan merayu terhadap keputusan itu berkata, pihaknya mempunyai 14 hari untuk menfailkan notis rayuan.

Pada 10 Jan lepas, Muhdalena, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), diperintah membela diri terhadap empat pertuduhan melakukan kesalahan itu di kawasan Kompleks B, JPM kira-kira jam 2.30 petang, pada 9 Julai, 2012.

Empat pertuduhan itu ialah melakukan ugutan jenayah terhadap polis bantuan Kpl Ridzuan Megat Ahmad di Kompleks ‘B’ JPM pada 9 Julai 2012, memiliki sebilah parang, mengingkari perintah Ridzuan supaya meletakkan senjata dan gagal mematuhi nasihat menteri supaya mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis berkenaan yang merupakan kawasan larangan.

Bagi pertuduhan melakukan jenayah ugut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Muhdalena berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan memiliki senjata mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Muhdalena juga berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya mengikut Akta Tempat Larangan dan Kawasan Larangan 1959.

Muhdalena dan Khalil Afendi, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi dilaporkan mengamuk di luar Kompleks JPM dengan bersenjatakan pedang samurai sebelum mereka ditembak dan Khalil meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan.

Muhdalena ketika ditemui media selepas keputusan itu berkata dia bersyukur dengan keputusan itu dan menyifatkan perintah mahkamah itu supaya dia dirawat di Hospital Permai sebagai satu tempoh untuknya merehatkan diri dan mindanya.

“Saya tidak anggap itu hukuman untuk saya, saya nak rehat di sana sebab sekarang ini pun saya masih lagi mengambil ubat. Saya nak sihat seperti sedia kala. Saya bersyukur sebab saya tidak masuk penjara,” kata wanita itu yang kini sedang mengandung lima bulan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk membuat perkara itu. Sebelum ini saya mempunyai kerja yang stabil. Dulu saya ekstrem, sekarang saya hendak hidup secara sederhana,” katanya.

No comments: