Saturday 17 May 2014

SAHIH.... DAP PERTARUHKAN DYANA SOFYA DI PRK PARLIMEN TELUK INTAN


Dyana Sofya Mohd Daud hari ini diumumkam sebagai calon DAP bagi merebut kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini.

Pencalonan tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung, DAP Lim Guang Eng di Teluk Intan, hari ini.

Hadir sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Pemilihan Dyana Sofya jelas Guang Eng, sebagai mewakili generasi muda daripada semua kaum, agama dan peringkat umur.

Jelasnya lagi, pemilihan generasi muda juga untuk mencerminkan masa depan DAP yang baharu.

Keberanian pihak pembangkang meletakkan calon wanita di PRK Teluk Intan ini katanya, sebagai bukti dan tanda kesaksamaan gender dalam pentadbiran jentera parti dan negara kelak.

Sementara itu, Dyana Sofya dalam ucapannya, memohon sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakyat.

Wanita yang berpegang kuat kepada pepatah Melayu “pantang berundur sebelum berjuang” itu turut mempertaruhkan semangat demokrasi dan unsur kesaksamaan bagi semua kaum.

“Sebagai generasi muda, saya sentiasa mendokong amalan politik baru yang meruntuhkan benteng perkauman, menghargai persamaan dan meraikan perbezaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan sejurus diumumkan sebagai calon PRK Teluk Intan bagi mewakili parti pembangkang.

Katanya lagi, perjuangan di tanah air ibarat seperti teh tarik yang tidak mengenal sempadan warna, umur penggemarnya dan adalah tugas semua untuk mencari ramuan teh tarik yang terbaik.

Dyana Sofya Mohd Daud yang dilahirkan pada 29 Disember 1987 merupakan anak jati Ipoh Perak dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang pada tahun lalu.

Dyana Sofya juga merupakan peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 2011 dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM). - PerakToday

No comments: