Monday 20 January 2014

CURI CINCIN RM 5.2 JUTA - 3 WANITA WARGA ASING DIBURU POLIS


KUALA LUMPUR : Susulan kes kehilangan cincin bernilai RM5.2 juta di ibu negara, Khamis lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan polis antarabangsa (INTERPOL) bagi mengesan tiga wanita dan seorang budak perempuan dipercayai warga asing bagi membantu siasatan kes itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat dalam usaha mengenal pasti identiti semua individu terbabit.

“Kami percaya mereka berada di negara ini. Kami juga mengambil langkah meminta bantuan pihak Imigresen (untuk mengesan suspek) di pintu masuk dan keluar negara,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian 3 petang itu, kumpulan wanita dan kanak-kanak itu dilaporkan memasuki kedai menjual barang kemas eksklusif di Bukit Bintang, di sini.

Namun, budak perempuan berusia lapan hingga 10 tahun itu dipercayai menyelinap masuk untuk mengambil kunci tempat cincin berkenaan dipamerkan sebelum mencurinya dan meletakkan semula kunci berkenaan di tempat asal.

Susulan itu, polis juga menubuhkan pasukan khas untuk mengesan suspek.

Dalam laporan akhbar Jumaat lalu, sebentuk cincin berlian bernilai RM5.2 juta yang dipamerkan di sebuah pusat jualan barangan kemas eksklusif di Bukit Bintang, di sini, hilang dipercayai dicuri seorang budak perempuan, petang Khamis lalu.

Kanak-kanak terbabit yang dianggar berusia antara lapan hingga 10 tahun dikatakan masuk ke kedai itu bersama tiga wanita termasuk seorang yang kelihatan seperti mengandung, jam 3 petang.

Ketika tiga jurujual leka melayan pelanggan, budak berkenaan dipercayai mengambil kunci laci sebelum mencuri cincin ‘Yellow Diamond’ itu dan kemudian meletakkan kembali kunci terbabit di tempat asal.

Difahamkan, tiga wanita terbabit bersama budak perempuan itu sebahagian daripada anggota sindiket penjenayah warga China yang menggunakan kanak-kanak untuk mencuri barangan berharga dari premis sekitar ibu negara. myMetro

No comments: