Tuesday 5 November 2013

MUKHRIZ JELASKAN PUNCA KEKALAHAN BN


mhk

JERAI  – Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menyifatkan pelbagai  faktor menjadi punca kegagalan Barisan Nasional (BN) menawan Dewan Undangan  Negeri (DUN) Sungai Limau daripada Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari  ini.

Mukhriz berkata, BN yang mendahului kiraan undi pada peringkat awal akhirnya  terpaksa akur apabila undian daripada Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Besar  mula dikira.


“Di sini timbul persoalan bagaimana satu PDM seperti Bukit Besar boleh  mempunyai jumlah pengundi yang begitu ramai sedangkan yang banyak di situ cuma  sekolah pondok sahaja dan jumlah penduduk sekitar ratusan orang. Sejak dahulu  lagi, tempat ini sering memberi undi kepada Pas.

“Bukan bermaksud kita persoalkan tetapi masih berlegar dalam pemikiran.  Adakah tindakan mendaftar orang luar sebagai pengundi boleh diterima sebagai  amalan demokrasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya punca BN gagal mengalahkan Pas apabila  calonnya, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim mendapat 10,985 berbanding 12,069 oleh calon  Pas, Mohd. Azam Abdul Samat.

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam  berkata, penolakan terhadap BN di Bukit Besar oleh pengundi tidak akan dijadikan  sebab untuk BN menjauhi kawasan itu, sebaliknya akan terus mendekati pondok  dalam usaha menegakkan syiar Islam di negeri ini.

Dalam pada itu, Mukhriz melahirkan rasa kecewa apabila terdapat beberapa  masjid dalam kawasan ini yang menjemput imam dari luar pada solat Jumaat lepas  dan menyampaikan khutbah politik dan mendoakan kemenangan Pas.

“Ini jelas menunjukkan mereka tidak menghormati titah Pengerusi Jemaah  Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang tidak mahu  masjid dijadikan tempat berpolitik,” katanya.

Ditanya adakah wujud unsur sabotaj dalam kalangan ahli UMNO sehingga  menggagalkan hasrat BN di Sungai Limau, Mukhriz menegaskan perkara demikian  tidak berlaku kerana statistik menunjukkan hampir 100 peratus ahli UMNO keluar  mengundi.

Sementara itu, Mukhriz berkata, peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap  BN dalam PRK Sungai Limau merupakan perkara positif.

Katanya, BN menerima dengan positif kekalahan parti itu dalam PRK DUN Sungai  Limau dan tidak akan meninggalkan pengundi yang telah menyokong BN di kawasan  tersebut.

“BN telah berjaya mengurangkan majoriti Pas lebih 1,000 undi dan aspek itu  merupakan satu kemenangan baik kepada BN.

“Saya juga pernah sebut sebelum ini, kalah atau menang BN di sini tidak  memberi kesan kerana BN masih kekal di Kedah dan saya masih Menteri Besar  Kedah,” katanya.

Mukhriz berkata, BN juga akan meneruskan dua projek di kawasan Sungai Limau  iaitu projek jalan raya antara Guar Chempedak ke Pulau Bunting serta  mempertimbangkan pembinaan sebuah pelabuhan di Pulau Bunting seperti yang  dijanjikan kerana parti itu tidak bersikap pilih kasih.

“Kita tetap bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di sini, kita akan  teruskan dengan dua projek tersebut,” jelasnya.

Ujarnya, kemenangan Pas juga bukan disebabkan calon Pas, Mohd. Azam adalah  calon terbaik parti itu.

“Calon BN, Ahmad Sohaimi dan Mohd. Azam kedua-duanya masih baharu dalam soal  politik serta bukan calon ‘heavy weight’.

“Mungkin ada unsur lain seperti ideologi politik yang sebabkan calon BN  kalah,” jelasnya. – Utusan.

No comments: