Friday 4 October 2013

PEMILIHAN NAIB PRESIDEN UMNO MULA DICEMARI DENDAM VIDEO LAMA


Menjelang pemilihan Umno bulan ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi sasaran musuh politik yang menyiarkan video mendakwa beliau memukul seorang ahli perniagaan pada tahun 2006.

Video bertajuk “Jenayah Zahid Hamidi” yang dimuatnaik di laman sosial Youtube memaparkan dakwaan Amir Bazli Abdullah bahawa beliau dipukul oleh Zahid pada tahun 2006.

“Ini adalah video klip yang melibatkan jenayah Zahid Hamidi. Sikap menggunakan kuasa untuk menekan undang-undang tidak melayakkan beliau memimpin Umno,” kata sinopsis klip video yang dimuat naik pada 2 Oktober menggunakan nama akaun ‘azlanshah mohd noor’.

Amir yang mendakwa beliau dipukul kerana menjalin hubungan dengan anak Zahid menyaman Menteri Dalam Negeri itu sebelum Zahid menfailkan saman balas terhadap beliau.

Kes itu diselesaikan di luar mahkamah pada Julai lalu selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai isu pampasan.

Ia diungkit semula selepas Zahid secara rasmi mengisythiarkan hasrat mempertahankan kerusi Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Oktober 19.

Pemerhati berkata beliau berpeluang cerah mempertahankan kedudukannya berdasarkan prestasi cemerlang selaku Menteri Dalam Negeri, khususnya dalam menggerakan Ops Cantas untuk mengekang kadar jenayah yang semakin meningkat.

Dalam pada itu Zahid juga bertanggungjawab memastikan pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah diluluskan parlimen sungguhpun mendapat bantahan pembangkang kelmarin.

Klip video mengenai Zahid itu yang mempunyai kira-kira 300 hits setakat ini cuba memaparkan beliau sebagai liabiliti kepada Umno dan meminta perwakilan Umno untuk “berfikir sendiri” sebelum mengundi beliau. 

Dalam klip video sepanjang 47:15 minit itu, Amir Bazli mendakwa hubungan beliau dengan anak Zahid membawa kepada beliau terlantar di hospital selepas dipukul.

No comments: