Wednesday 2 October 2013

BEKAL BAHAN MAKANAN KE TLDM : KEMENTERIAN PERTAHANAN RUGIKAN KERAJAAN MALAYSIA RM 34.5 JUTA



KUALA LUMPUR : Laporan Ketua Audit Negara 2012 mengesahkan kerajaan kerugian RM34.5 juta setelah Kementerian Pertahanan membayar jumlah yang lebih tinggi berbanding nilai sebenar beberapa projek.

Semakan audit mendapati 30 kontrak yang dimeterai antara tahun 2010 hingga 2012 yang bernilai RM47.96 juta sepatutnya hanya menelan belanja RM13.46 juta atau 28.1% daripada nilai keseluruhan kontrak.

Laporan itu turut mendapati 23 kontrak yang dimeterai antara Kementeriaan Pertahanan dan kontraktor lewat ditandatangani  antara 12 hingga 600 hari.

Namun kerugian akibat kelewatan ini tidak dimaklumkan.

Jabatan Ketua Audit Negara juga memaklumkan pihaknya gagal mengenal pasti status empat lagi kontrak setelah mendapati dokumen berkaitan projek itu masih berada dalam simpanan pihak kontraktor.

Menurut laporan itu lagi, sebanyak 67 item bernilai RM180,000 tidak menepati syarat kontrak,  seperti gagal mempamer tanda makanan dan tanda tarikh luput.

Semakan juga mendapati wujud bahan masakan yang telah melebihi tarikh luput masih disimpan.

Tindakan melupuskan bahan-bahan berkenaan hanya dilakukan selepas menerima arahan daripada pihak Jabatan Audit Negara.

Pembekalan makanan bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meliputi penyediaan rangsum kering kepada anggota tentera.

No comments: