Sunday 29 September 2013

BUKU 'MENGENAL HAKIKAT SYIAH' DILANCARKAN


DALAM usaha memberi kefahaman kepada masyarakat umum mengenai penyelewengan ajaran Syiah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melancarkan buku Mengenal Hakikat Syiah.

Buku hasil tulisan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh itu membincangkan dan memberi penjelasan hakikat sebenar fahaman Syiah serta rahsia di sebalik ajaran berkenaan yang perlu diketahui oleh umat Islam bagi mengelak kekeliruan.

Buku setebal 141 muka surat itu mengupas empat topik utama iaitu Sejarah perkembangan Syiah; Ahlul Bait menurut pandangan Sunnah; Syiah: Akidah Imamiah di sisi Syiah Isna Asharah dan kesan terhadap pegangan ahli Sunnah dan Benarkah Syiah tidak kafirkan sahabat.



Di samping itu, buku Mengenal Hakikat Syiah turut memuatkan terjemahan artikel karangan ulama terkemuka Mesir, Syeikh Mahmood Saad Nasih yang mengupas mengenai fahaman Syiah jauh bercanggah dengan ahli Sunnah.

Wan Zahidi ketika ditemui berkata, fahaman Syiah bukan sahaja merosakkan akidah umat Islam, malah mampu mengganggu gugat kestabilan negara termasuk dalam aspek keselamatan, ekonomi dan juga sosial.

"Fahaman Syiah bukan perkara baru, malah ia telah wujud di negara ini sejak dahulu lagi. Bagaimanapun kita melihat ia dilihat semakin berkembang dan menyebarkan fahaman itu ke seluruh negara.

"Ini bukan sahaja merosakkan akidah umat Islam yang terpengaruh dengan fahaman berkenaan, malah secara dalam diam ia dapat memberi kesan buruk terhadap keselamatan negara kerana ajaran Syiah yang menghalalkan darah umat Islam. Begitu juga dalam aspek ekonomi dan sosial masyarakat di negara ini," katanya a pada Majlis Pelancaran buku Mengenal Hakikat Syiah di Putrajaya, baru-baru ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, penghasilan buku Mengenal Hakikat Syiah sangat bertepatan dengan keadaan semasa dan sesuai untuk dijadikan rujukan umat Islam bagi mendapat penjelasan sebenar mengenai fahaman Syiah.

"Saya difahamkan penulis bukan baharu menulis mengenai tajuk ini bukan mengikut keadaan semasa yang kini gempar mengenai isu ajaran sesat tersebut, tetapi telah menjalankan kajian sejak 1985 lagi.

"Penghasilan buku ini merupakan satu usaha yang sangat baik dilakukan pihak penerbit dalam memberi panduan kepada umat Islam mengenai bahaya Syiah. Kita tidak mahu amalan ajaran yang agresif ini berkembang di negara ini dan membahayakan negara," katanya.

Sebanyak 1,000 cetakan buku Mengenal Hakikat Syiah telah diedarkan di masjid terpilih seluruh negara. Manakala orang ramai yang ingin memiliki buku tersebut boleh mendapatkan dengan menghubungi Bahagian Penerbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di talian 0322723137 secara percuma. UM

No comments: