Friday 23 August 2013

'POLIS' BUNUH ALTANTUYA TERLEPAS HUKUMAN MATI


Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan bekas Pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan bekas Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali bersama-sama Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimon Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu yang dibacakan oleh Tengku Maimon. 

Menurut panel tiga hakim itu terdapat  kekhilafan serius dari segi undang-undang dan fakta semasa perbicaraan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Zaki Yassin pada April 2009. 

Mahkamah ketika itu mendapati kedua-dua anggota polis itu bersalah tetapi membebaskan penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang didakwa juga terbabit dalam pembunuhan berkenaan.

Antara  kekhilafan itu termasuk mahkamah tidak memanggil DSP Musa Safri seorang saksi penting bagi memberi keterangan dan kegagalan membekalkan catatan balai polis yang menunjukkan Azilah berada di Bukit Aman semasa waktu kejadian.

Dengan keputusan hari ini, pihak pendakwaan masih boleh mengekalkan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan.

Azilah Hadri dan Sirul Azhar masing-masing kemudiannya dibawa pulang ke penjara Kajang dan Tapah untuk menjalani beberapa proses sebelum dilepas dan dibebaskan. 

Kedua-dua bekas anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) itu sebelum ini mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Kedua-duanya didapati bersalah atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang, Selangor.

Rayuan Azilah selaku perayu pertama dan Sirul Azhar, perayu kedua telah didengar selama dua hari pada 24 Jun lalu di hadapan panel tiga hakim dianggotai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Azilah diwakili oleh peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, manakala peguam  Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican pula membela Sirul.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam cara Negara III Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang juga dianggotai oleh DPP Manoj Kurup dan DPP Noorin Badaruddin.

No comments: