Thursday 30 May 2013

RAJA MUDA SANGGUP MENCEMAR DULI, BERBASIKAL UNTUK BERJUMPA RAKYAT

Raja Muda berbasikal untuk bertemu rakyat

KANGAR, 29 Mei (Bernama) -- Hampir setiap minggu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencemar duli dengan berbasikal menjelajahi serata pelusuk negeri untuk bertemu rakyat jelata.


Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tidak berkayuh dengan tangan kosong sebaliknya turut membawa sumbangan zakat kepada asnaf terpilih termasuk warga emas.

Kegiatan berbasikal bersama ketua-ketua jabatan itu adalah pengisian bagi program MAIPs Peduli.

Dalam kegiatan terbaru, baginda berbasikal sejauh 14 kilometer yang bermula dan berakhir di Masjid Al Muqarrabin, Behor Empiang dekat sini hari ini, menjelajahi kampung-kampung di kawasan Kechor dan Abi untuk bertemu golongan asnaf.

Antara mereka ialah dua warga emas, Embun Muhammad berusia 102 tahun, dan Abu Bakar Kasa, 83, yang masing-masing menerima RM400.

Turut hadir pada majlis penyampaian sumbangan zakat kepada kedua warga emas itu di kediaman masing-masing ialah anggota dewan undangan negeri kawasan Bintong, Rela Ahmad yang juga Ketua Wanita Umno Perlis.

Seorang penerima zakat Othman Rashid, 54, berkata, program MAIPs Peduli memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

Katanya, kehadiran baginda ke kampung-kampung dengan berbasikal membuktikan sikap rendah diri baginda malah ini merupakan antara transformasi yang dibawa baginda dalam MAIPs.

Setiap kali selepas berbasikal, baginda menyertai anak kariah masjid untuk solat berjemaah.

No comments: