Thursday 23 May 2013

INFO TERKINI DI MAHKAMAH RAYUAN, PUTRAJAYA, KES KALIMAH ALLAH


Pada hari ini, 23.5.2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai YA Dato’ Seri Abu Samah Nordin, bersidang bersama YA Dato’ Balia Yusof Haji Wahi dan YA Dato’ Rohana Yusuf, di Istana Kehakiman, Putrajaya telah mengesahkan perintah persetujuan terhadap permohonan perayu-perayu yang terdiri daripada enam Majlis-majlis Agama Islam Negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia, (MACMA), yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31.12.2009 yang menolak permohonan perayu untuk menjadi pencelah (intervener) di dalam kes ini.

Mahkamah telah, di antara lain, memerintahkan bahawa: i) Rayuan perayu dibenarkan; ii) Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31.12.2009 yang menolak permohonan perayu di bawah Aturan 53 Kaedah 8 (1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 diketepikan; iii) Perayu hendaklah disifatkan telah menjadi pihak kepada prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi sebagai responden di bawah Aturan 53 Kaedah 8 (1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan dibenarkan untuk didengar sebagai penentang dan dalam hal ini perayu telahpun didengar sedemikian di hadapan Mahkamah Tinggi; dan v) Tiada perintah mengenai kos serta deposit dikembalikan.
Perintah persetujuan ini pada hakikatnya menjadikan Majlis-majlis Agama Islam Negeri & MACMA sebagai pihak-pihak di dalam kes ini dan dibenarkan mengemukakan hujahan masing-masing di dalam rayuan utama terhadap permohonan semakan kehakiman (judicial review) kes tersebut.
Sebelum ini, rayuan kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung perintah Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam majalah itu ditetapkan untuk satu lagi pengurusan kes pada 30.05.2013.

No comments: