Thursday 28 March 2013

SISI GELAP SEORANG MAK NYAH SEBELUM INSAF DAN BERTAUBAT.....

Foto


Bayan Lepas : “Mula-mula doktor toreh kulit, kemudian dia seperti mengoyak bahagian dagu hingga menampakkan tulang. Selepas itu doktor kikis kolagen yang sudah menjadi lemak.
“Sakitnya susah saya nak gambarkan. Pada masa itu, saya terfikir itulah hukuman ke atas saya kerana cuba mengubah ciptaan Allah,” kata bekas mak nyah, Mohd Khariri Ramli, 35, menceritakan pengalamannya untuk kembali ke pangkal jalan.
Dia yang sebelum ini dikenali sebagai Erin bergelumang dalam dunia mak nyah selama 20 tahun dan pernah mengambil bermacam-macam suntikan untuk mengubah wajah serta penampilan supaya kelihatan seperti wanita.

Akibatnya, kata Mohd Khariri, dia mengalami pelbagai kesan sampingan antaranya dagu menjadi ‘luruh’ dan kerap dilanda kekejangan otot di beberapa bahagian badan hingga sekarang.
Menurutnya, kini dia dalam proses menjalani pemeriksaan saraf kerana dipercayai kekejangan dialaminya itu kesan daripada suntikan kecantikan dijalaninya sebelum ini.
Bukan setakat itu sahaja kesengsaraan yang dialaminya... Malah pengalaman pahit disihir, dibelasah dan dikurung ‘teman lelaki’, menjadi titik tolak kepada Mohd Khariri untuk kembali menjadi lelaki sejati dan meninggalkan dunia mak nyah yang penuh noda.
Mohd Khariri berkata, ketika menjadi mak nyah dia bukan saja ada teman lelaki, malah mereka tinggal bersama seolah-olah suami isteri selama hampir setahun.
“Mula-mula bersama memanglah bahagia, tapi lama kelamaan saya hanya menjadi mangsa belasahannya hingga cedera teruk dan separuh mati.
“Daripada situlah saya mula terfikir untuk bertaubat kerana mula sedar teman lelaki saya hanya mengambil kesempatan dan menggunakan saya untuk kepentingan dirinya,” katanya.
Menurutnya, kejadian dia dibelasah dan dikurung teman lelakinya berlaku 10 tahun lalu yang mengakibatkan batang hidung plastik yang digunakannya untuk kelihatan cantik patah, berulat dan terpaksa dibuang.
“Keadaan saya ketika itu cukup sengsara kerana turut disihir menggunakan bomoh Siam dan banyak duit saya dikikisnya,” katanya.
Mohd Khariri yang bertugas sebagai guru di Selangor, menceritakan pengalaman pahitnya itu ketika ditemui Harian Metro pada Program Perkhemahan Muhibah 2013 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini, baru-baru ini.
Program itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Yayasan Ihtimam Malaysia, dihadiri 30 mak nyah sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Mohd Khariri berkata, berikutan kesengsaraan yang dialami dia seperti tersedar daripada mimpi dan mula memikirkan sampai bila dia akan berkeadaan sebegitu.
“Bermula detik itu, saya tekad meninggalkan dunia mak nyah peringkat demi peringkat. Mula-mula insaf lapan tahun lalu, saya masih berpakaian wanita, tapi mula kurangkan pergaulan dan aktiviti dengan kawan mak nyah.
“Kira-kira empat tahun lalu, baru saya ubah terus penampilan dengan berpakaian seperti lelaki dan mendapatkan bimbingan serta rawatan daripada ahli agama di Tanjung Rambutan, Perak,” katanya.
sumber : mymetro

No comments: