Thursday 27 December 2012

HENTIKAN PEMBALAKAN DI GUNUNG INAS SERTA-MERTA...!!!


KUALA LUMPUR  - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengarahkan semua aktiviti pembangunan dan pembalakan di Gunung Inas serta Pedu di Kedah yang dipersoalkan banyak pihak dihentikan serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya telah memaklumkan arahan itu kepada Jabatan Perhutanan Kedah untuk dikuatkuasakan dan menyampaikannya kepada Kerajaan Pas Kedah.

“Semua aktiviti penebangan hutan di kawasan Gunung Inas dan Pedu telah diarah dihentikan serta-merta sehingga laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baharu siap. Ketika ini siasatan terperinci sedang dilakukan.


“Berdasarkan siasatan awal memang terdapat kawasan tadahan air dibalak dan digondolkan tetapi sebarang tindakan selepas ini berpandu kepada hasil siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Utusan Malaysia dalam satu laporan khas baru-baru ini mengenai Kedah yang kini diancam bencana alam khususnya banjir lumpur ekoran kerakusan aktiviti pembalakan.

Ditanya bila laporan EIA baharu akan siap, Douglas berkata, beliau tidak dapat menyatakannya kerana tidak mahu mengganggu siasatan tetapi tidak menolak andaian memerlukan masa agak lama.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan laporan EIA baharu untuk menilai kesan kemusnahan akibat kerakusan penebangan hutan di Gunung Inas mengambil masa enam bulan untuk siap dan ia tidak termasuk bagi kes di Pedu.

Dalam pada itu, Douglas menambah, pihaknya sentiasa memantau perkembangan terkini aktiviti tebus guna tanah di Gunung Inas dan Pedu bagi menggelakkan kemudaratan alam sekitar.

“Kita akan bertindak mengikut saluran betul kerana ini melibatkan kawasan tadahan air yang sepatutnya dilindungi oleh kerajaan negeri Kedah dan bukannya menjadikan kawasan ini sebagai mangsa pembangunan," katanya - Utusan Malaysia 24/12/12

No comments: