Saturday 24 November 2012

PERLANGGARAN 100 KENDERAAN



BEAUMONT (Texas) : Dua maut dan berpuluh cedera semalam apabila sekurang-kurangnya 100 kenderaan terbabit dalam kemalangan di lebuh raya yang diselubungi kabus tebal.

Insiden itu menyebabkan ada antara kenderaan terbabit saling bertindih dan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa. Kemalangan pada hari sambutan cuti Thanksgiving itu berlaku kira-kira 128 kilometer di timur Houston.

Sekurang-kurangnya 51 orang dirawat di hospital dan lapan daripadanya dalam keadaan parah. Selain faktor cuaca, tidak jelas bagaimana kemalangan itu berlaku.

Jurucakap polis berkata, penyelamat tidak menyangka mereka berdepan kemalangan berganda apabila tiba di situ.
“Kami turut dibantu mangsa kemalangan yang tidak cedera,” katanya.

Pegawai Jabatan Keselamatan Jalan Raya Texas pula berkata, dua mangsa yang terbunuh menaiki kenderaan pelbagai guna yang dirempuh kontena. - AP (RS)

No comments: