Sunday 7 October 2012

WARGA PAKISTAN DITAHAN SEDANG MENGEMIS....

Hiasan

PETALING JAYA  : Seorang warga Pakistan sanggup datang ke negara ini semata-mata untuk meminta sedekah bagi menanggung isteri dan anaknya yang ditinggalkan di negara berkenaan.



Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar apabila ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor di tempat letak kereta Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 32 tahun itu mampu memperoleh pendapatan hampir RM3,000 sebulan dan selepas pemeriksaan dilakukan, anggota imigresen menemui wang tunai RM70 daripadanya, dipercayai diperoleh daripada hasil kegiatannya.



Difahamkan, lelaki terbabit baru beberapa jam berada di lokasi itu tetapi mampu memperoleh wang sebanyak itu berikutan kawasan berkenaan sesak dengan orang ramai yang menghantar keluarga mengerjakan haji.

Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad berkata, ‘Ops Sedekah’ yang bermula jam 4 hingga 5.30 petang kelmarin bersama 10 anggota itu bertumpu di kawasan sekitar Kelana Jaya dan Bandar Sunway, di sini, berikutan laporan Harian Metro kelmarin mengenai kegiatan peminta sedekah warga asing di persimpangan lampu isyarat Sunway - Kelana Jaya, di sini.


Amran berkata, siasatan mendapati lelaki Pakistan itu kali pertama datang ke Malaysia dan tiba di negara ini Julai lalu.



“Dia ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial. Ketika ditahan kita menemui wang tunai RM70, dipercayai diperoleh daripada kegiatannya sebagai peminta sedekah,” katanya.

Ketika ditahan, lelaki terbabit turut merayu-rayu supaya dilepaskan kerana dia hanya datang ke Malaysia untuk mencari rezeki bagi isteri dan anaknya.


Malah, lelaki itu turut menunjukkan gambar isteri dan anaknya di dalam telefon bimbit selain mengatakan dia memasuki negara ini secara sah.

Amran berkata, turut ditahan seorang lagi lelaki warga Pakistan berusia 47 tahun atas kesalahan sama.


Katanya, kedua-dua lelaki itu akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kes disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalah guna pas lawatan sosial yang diberikan dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.


myMetro 7/10/12

No comments: