Sunday 28 October 2012

PEKERJA LADANG MOHON KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA CAMPURTANGAN.....

29 pekerja ladang enggan berhenti
Vasanthi (duduk, depan), Maliga (berdiri, kanan) dan Saraswathy (duduk, tiga dari kanan) bersama bekas pekerja ladang lain harapkan simpati majikan diberi peluang bekerja.


SUNGAI PETANI - Seramai 29 bekas pekerja ladang di sini masih mengharapkan supaya diberi peluang bekerja semula oleh majikan selain memohon Kementerian Sumber Manusia memberi perhatian terhadap nasib mereka.

Berpengalaman selama 23 tahun sebagai pekerja ladang, S Vasanthi, 47, berkata, sejak diberhentikan melalui notis 24 jam pada 30 Julai lalu, kesemua pekerja yang berkhidmat dari lima hingga 33 tahun itu tidak bersetuju.

“Kami bekerja dan menetap di sini sejak sekian lama dan ini adalah generasi ketiga yang bekerja di sini sejak zaman datuk dan nenek lagi,” katanya.

Menurutnya, setelah beberapa kali perbincangan, pihak majikan bersetuju   menawarkan pekerjaan semula pada 1 September lalu. Namun, pekerja tidak dipanggil sebaliknya majikan menambah pekerja warga asing untuk menggantikan pekerja yang diberhentikan.

Dia yang memiliki tiga anak termasuk seorang remaja kurang upaya (OKU) merayu kepada pihak Kementerian Sumber Manusia menyelesaikan masalah itu demi masa depan anak dan keluarga.

Magendran Murugesu, 42, berkata, dia bekerja di ladang berkenaan sejak 24 tahun lalu dan tidak bersetuju tindakan majikan yang memberhentikan mereka serta-merta.

“Raya Deepavali dah semakin hampir, anak-anak perlu ke sekolah, diberi makan dan keperluan barangan harian. Bil elektrik dan air tertangguh sebab tiada duit nak bayar.

“Kami mohon supaya majikan beri peluang kami bekerja semula sebagaimana datuk dan nenek kami bekerja sampai pencen kerana sudah lama bergantung kerja di ladang dan tinggal di rumah ladang,” katanya.

Saraswathy Nadasan, 51, berkata, dia ditugaskan sebagai pengasuh bayi kepada anak pekerja ladang dan sudah berkhidmat selama 23 tahun di ladang berkenaan.

Dia berharap majikan memberi semula peluang pekerjaan kerana perlu menampung keperluan keluarga dan sukar  mencari pekerjaan di tempat lain memandangkan sudah lanjut usia.

Penoreh getah, K Maliga, berkata, dia merayu majikan dan kementerian mengambil tindakan mengatasi masalah itu.

“Susah jadi penganggur kerana tiada wang, rumah juga tiada kerana tinggal di rumah estet sejak berpuluh tahun dahulu dan apabila mereka minta kami kosongkan rumah, semua sudah jadi bimbang dan susah hati,” katanya.

M Mary, 51, berkata, disebabkan tiada kerja dia pernah memohon untuk menjadi pekerja kebersihan tetapi gagal kerana sudah berusia.

Munusamy Murugan, 51, berkata, dia mahu majikan memberi peluang bekerja semula kerana sudah berkhidmat selama 27 tahun.

Difahamkan, majikan berkenaan sudah mengadakan perbincangan selama empat kali dengan bekas pekerja tetapi tiada sebarang keputusan positif diperoleh.

Bekas pekerja juga diberi notis mengosongkan rumah sebelum atau pada 31 Oktober  ini atau menerima tawaran kerja yang berstatus kontrak, jika tidak tawaran berkenaan terbatal dengan sendirinya pada tarikh itu.

Bagaimanapun, kesemua bekas pekerja memaklumkan tidak akan mengosongkan rumah mereka kerana tiada tempat hendak dituju selain mengharapkan supaya diterima semula bekerja sebagai pekerja tetap termasuk menerima insentif dan kemudahan yang diterima sebelum ini.

Sinar Harian 28/10/12

No comments: