Thursday 11 October 2012

5 TAHUN AKAN DATANG, APA AKAN JADI PADA IPOH...???




Ipoh Bakal Berubah Wajah Dalam Masa Lima Tahun Akan Datang




Wajah bandar raya Ipoh bakal berubah dalam tempoh lima tahun akan datang melalui beberapa projek pembangunan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri, demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Katanya, ia mampu  dicapai berdasarkan persetujuan kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk membangunkan semula beberapa kawasan pembangunan lama yang berpotensi di sekitar Ipoh.
“Kita telah bersetuju membangunkan semula kawasan perkampungan lama antaranya di Buntong dan rumah pangsa Sungai Pari.
“Dalam erti kata lain suatu hari nanti wajah bandar raya Ipoh pasti akan berubah,” jelasnya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di pejabatnya di Bangunan SUK, di Ipoh, hari ini.
Menurut beliau lagi, wajah baru bandar raya itu dapat dilihat dalam tempoh masa lima tahun dari sekarang.
“Saya jangka dalam masa lima tahun lagi landskap bandar raya Ipoh akan berubah,” katanya sambil menegaskan projek pembangunan itu juga akan  melibatkan pembinaan bangunan pencakar langit.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berpuas hati dengan perancangan membangunkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) menggantikan bangunan pusat membeli belah Super Kinta yang sudah lama terbiar.
“Kerajaan negeri telah menerima peruntukan RM30 juta untuk membangunkan UTC dan kita adalah negeri ketiga di Malaysia yang mempunyai pusat seumpama itu,” ujarnya.
Transformasi pembangunan lama di sekitar Ipoh bukan sahaja dapat memberi keceriaan tetapi juga berpotensi merancakkan lagi aktiviti pembangunan di bandar raya tersebut, kata Zambry lagi.
The Portal Perak Today

No comments: