Thursday 6 September 2012

{ VIDEO } DARI HISTORY CHANNEL : KEHEBATAN GERUP GERAK KHAS (GGK)

VIDEO: Kehebatan Pasukan Komando Negara, Gerup Gerak Khas (GGK) Dalam History Channel

Gerup Gerak Khas (GGK) merupakan pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia dan dan memiliki kelas tersendiri di kaca mata pasukan khas terkemuka di dunia.



Meskipun tidak banyak kisah mengenai GGK didedahkan menerusi media, namun tiada siapa yang dapat menafikan tentang kehebatan pasukan itu bersandarkan pelbagai kejayaan yang telah diraih sebelum ini.
Tanpa semangat, keazaman, ketahanan mental dan fizikal serta ilmu muslihat perang yang mencukupi tidak mungkin seseorang itu boleh lulus Kursus Asas Komando yang melayakkan mereka dianugerahkan beret hijau, diploma dan pisau komando.
Selepas memiliki kelayakan itu, barulah mereka boleh dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai operasi berisiko tinggi yang menjadikan nyawa sendiri sebagai pertaruhan.
Biarpun sedar dengan segala risiko yang ada, namun ia sama sekali tidak pernah menggentar hati mereka yang berada dalam pasukan itu. Malah mereka tidak pernah menyesal kerana memasuki pasukan elit tersebut.
Walaupun sewaktu mengikuti kursus asas tiada belas kasihan ditunjukkan oleh jurulatih terhadap mereka, namun hasil daripada latihan seumpama itu jugalah yang menjadikan mereka memiliki semangat berpasukan yang jitu di samping kecekalan hati untuk mengharungi apa jua cabaran yang mendatang.
Sememangnya tiada siapa yang boleh menafikan bahawa untuk lulus kursus tersebut bukanlah satu tugas yang mudah.
Apatah lagi setiap penuntut mesti mencapai taraf fizikal dan mental yang tinggi serta perlu lulus ujian jasmani, mencapai taraf pengetahuan asas (teori dan amali) di dalam semua mata pelajaran muslihat di peringkat seksyen dan terup.


Mereka juga mestilah boleh mengendali dan menembak semua jenis senjata kecil dan bantuan yang terdapat di dalam pasukan tempur serta mempunyai pengetahuan asas mengendalikan bahan-bahan letupan dengan selamat dan berjaya.
Untuk kelangsungan perjuangan pula, mereka wajib mengetahui jenis-jenis tumbuhan dan binatang yang boleh dimakan sama ada di paya atau di hutan dan perkara ini amat dititik beratkan semasa latihan ikhtiar hidup.
Sepanjang tempoh latihan selama 12 minggu itu juga, semua penuntut akan dipaksa menjalani latihan keras dan lasak dengan berbagai tekanan yang sengaja diwujudkan oleh jurulatih demi memastikan hanya yang benar-benar berkualiti sahaja lulus dan berjaya menamatkan kelima-lima peringkat modul latihan iaitu kem, hutan, paya, laut dan akhir sekali latihan melari dan menghindarkan diri.


Pada kebiasaannya, tidak sampai separuh daripada penuntut yang mendaftar diri pada hari pertama yang berjaya mengikuti latihan sehingga ke peringkat terakhir kerana pelbagai sebab.
Namun, bagi yang telah bersedia, segala dugaan yang datang dihadapi dengan tabah demi memastikan beret hijau yang diburu tidak terlepas dari genggaman.


Tambahan pula, memakai beret hijau, merupakan satu lambang pengorbanan yang tulen dan mempunyai taraf profesionalisme yang tinggi seterusnya melayakkan para pemakainya menyertai GGK, salah satu pasukan elit dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
History Channel mengiktiraf keupayaan pasukan tersebut dengan menghasilkan dokumentari mengenai pasukan tersebut
SAKSIKAN!

No comments: