Wednesday 25 July 2012

SIAPA KATA DATUK BANDAR IPOH CALON PRU 13...???

rosidixx

Teka teki sejak sebulan yang lalu akhirnya terjawab apabila Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan bahawa kontrak Datuk Roshidi Hashim sebagai Datuk Bandar Ipoh disambung lagi.
Menurut Dr. Zambry, kontrak Roshidi yang tamat 23 Julai lalu disambung bagi tempoh setahun sehingga 2013.
Ini merupakan penggal kelima Roshidi menjadi Datuk Bandar sejak mula dilantik pada tahun 2008.
Kontrak penyandang jawatan Datuk Bandar kini memasuki perubahan apabila ianya diperbaharui setiap tahun.  Dulu ia untuk tempoh dua tahun.


Maknanya Roshidi akan menjadi Datuk Bandar sehingga 23 Julai 2013. Sekiranya kontrak itu tidak diperbaharui, Ipoh akan mempunyai Datuk Bandar baru pertengahan tahun depan.
Roshidi baru 57 tahun dan masih ada tiga tahun untuk berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan.
Spekulasi bahawa Ipoh bakal mempunyai Datuk Bandar baru menjadi agenda utama dalam kebanyakan media khusus media berbahasa Cina.
Sebagai contoh sebuah akhbar berbahasa Cina selain meramalkan Ipoh bakal mempunyai Datuk Bandar baru, ia juga menyebut Roshidi akan bertanding didalam kawasan parlimen Ipoh Timur.
Ipoh Timur  merupakan kubu kuat Dap dan kini diwakili penasihat parti, Lim Kit Siang. Lojiknya Roshidi tidak mempunyai peluang untuk menang jika ia diletakan di situ melainkan BN memilih kawasan lebih selamat yang majoritinya pengundi-pengundi Melayu.
Ketika ditanya mengenai spekulasi ini, Roshidi terkejut dengan laporan konon dia bakal bertanding di Ipoh Timur dalam PRU ke13.
“Sumpah . . .ini bulan puasa, saya tak taupun. Ini spekulasi akhbar (merujuk kepada wartawan akhbar berbahasa Cina).
Roshidi menafikan beliau akan menjadi calon. Bahkan Dr.Zambry minggu lalu berkata “pada pendapat saya (beliau menekankan ini pendapatnya) . . . .Roshidi tidak akan jadi calon dalam PRU ke13.”
 
Roshidi memegang jawatan itu di era Pakatan Rakyat memerintah setelah tewasnya BN dalam PRU ke12 (2008).
“Saya jadi Datuk Bandar di era Pakatan Rakyat memerintah”katanya ketika ditanya wartawan.
Sebaik BN mengambil alih teraju pemerintahan, Roshidi dikekalkan sehinggalah sekarang.
Menteri Bessar yang bercakap kepada media selepas hari bertemu pelanggan di Dewan SUK di Ipoh hari ini (Selasa) berkata kerajaan berpuas hati dengan prestasi kerja yang ditunjukan Roshidi.
Bagaimanapun katanya ruang  masih luas khusus dari segi kebersihan bandaraya Ipoh serta juga menjadikan bandaraya ini sebuah bandaraya hijau dengan penanaman pokok-pokok.
Beliau mahu Roshidi menitkberatkan aspek kebersihan bandaraya serta juga proses “menghijaukan”  bandaraya berkenaan.
Beliau bagaimanapun yakin bahawa dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Ipoh bakal muncul sebagai sebuah bandaraya Ipoh dengan pokok-pokok memenuhi ruang-ruang tertentu.
"Saya berharap Datuk Bandar dapat menfokuskan kepada usaha mengindahkan Bandaraya Ipoh dan kita mahu ia menjadi sebuah Bandaraya Bersih,’’ katanya.
Menurut Dr Zambry lagi, beliau melihat Bandaraya Ipoh dalam tempoh dua tiga tahun ini  bukan sahaja sedang menjalani  proses pembangunan yang begitu pesat malah juga dari aspek kehijauan dan kebersihannya.   
"Baru-baru ini saya  merasmikan serentak tiga blok kondominium mewah setinggi  26 tingkat  yang dianggap yang pertama di negara ini `The Haven’ sekaligus membuktikan Bandaraya Ipoh begitu pesat membangun seperti anda dapat lihat hari ini,’’tambahnya.
Ketika komen itu dilontarkan Roshidi berada berdekatan Menteri Besar.
Bahkan jawapan Menteri Besar mengenai kedudukan Roshidi berasaskan soalan wartawan Agenda Daily yang bertanya,” Datuk Bandar ada di sini, ada berita baik ke yang Datuk Seri nak sampaikan.”
Ketika ditemui pihak media Roshidi mengucapkan terima kasih kerana kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri melantiknya semula ke jawatan berkenaan.
Beliau berkata keutamaannya kini adalah untuk memastikan Ipoh bersih dan bandaraya ini juga menjadi sebuah bandaraya hijau seperti yang dikehendaki oleh Menteri Besar.

Roshidi berkata "progam menghijaukan Bandaraya Ipoh ini mendapat sokongan yang amat baik daripada Dr Zambry, beliau turun padang mengayuh basikal dan memberi nasihat bagaimana Ipoh patut dihijaukan lagi.’’
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) katanya bakal menghijaukan  kawasan-kawasan dan lokasi tertentu seperti di bulatan-bulatan untuk ditanam dengan pokok-pokok bunga agar ia kelihatan lebih ceria dan menarik.
"Saya ingin mengalakkan warga Ipoh bersama-sama dengan MBI bagi menjayakan program penanaman pokok ini  agar Ipoh terus hijau,’’ katanya. 
OLEH YUSOF HARUN

No comments: