Friday 20 July 2012

LKS MINTA PDRM TUNJUK BUKTI ATAU TARIK BALIK KENYATAAN....!!!

Lim Kit Siang

SHAH ALAM - Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menarik balik kenyataan pegawai kanannya semalam, yang mendakwa pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan bekas anggota komunis telah meresapi parti-parti pembangkang dalam usaha untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, beliau juga mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin mendedahkan nama pemimpin semasa DAP dan Pakatan Rakyat (PR) atau mana-mana ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang rapat dengan pengganas JI atau komunis.

"Atau namakan mereka yang telah meresap masuk ke dalam parti-parti PR dalam usaha menjadi calon pilihan raya umum akan datang.

"Jika tidak Mohd Sofian seharusnya menarik balik kenyataan beliau yang agak serius dan tidak berasas atau beliau seharusnya berhadapan dengan tindakan disiplin dan malah sewajarnya dipecat kerana membuat kenyataan tidak bertanggungjawab," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini berkata, Najib dan Hishammuddin seharusnya menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan.

"Menteri Dalam Negeri seharusnya memberitahu pembayar cukai kalangan rakyat Malaysia sejak bila Cawangan Khas (PDRM) secara rasmi diambil menjadi sebahagian daripada jentera propaganda Umno/BN bagi membantu dalam kempen PRU13 bagi kekal kuasa di Pusat," katanya lagi.

Laporan media memetik Mohd Sofian berkata, terdapat pengganas JI dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon pada PRU13.

Mohd Sofian berkata, Cawangan Khas mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi Pas selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

"Beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand yang dipercayai untuk mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di sana.

"Kesannya, idea-idea berhubung politik baru yang berpotensi menjejaskan nilai teras negara telah berkembang. Gerakan ini sebenarnya mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan asing yang membantu dari segi kewangan, latihan dalam dan luar negara serta pendedahan kepada kepakaran tertentu untuk menghadapi pilihan raya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahannya bertajuk "Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama" pada Konvensyen Pemimpin Muda Negara anjuran Parlimen Malaysia bersama-sama Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Guru dan Majlis Belia Malaysia

Terdahulu, dua komponen PR iaitu Pas dan PKR mencabar polis menunjukkan bukti jika benar parti-parti politik pembangkang diresapi pengganas JI dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis, yang cuba menjadi calon PRU13.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bimbang kenyataan yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam "bertujuan jahat" ke atas pembangkang menjelang PRU13.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin sokongan kepada PR khususnya Pas, yang dinamakan secara langsung dalam kenyataan semalam, tidak akan terjejas.

"Saya minta tunjuk bukti kalau benar dalam Pas ada orang seperti ini seperti yang didakawa oleh Datuk Mohd Sofian.

"Kami bimbang kenyataan-kenyataan seperti ini dikeluarkan ketika menjelang pilihan raya untuk mengelirukan rakyat... kenyataan yang berniat jahat," kata beliau ketika dihubungi.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad juga mencabar PDRM mengeluarkan bukti jika benar wujud elemen-elemen sedemikian.


No comments: