Saturday 7 July 2012

KERAJAAN NEGERI BERSAMA TNB DAN VALE SELESAI ISU LORI TANAH DI KDSK


Selepas mendengar keluhan serta pemasalahan 14 penduduk di Kampung Datuk Seri Kamaruddin Tambahan, kerajaan negeri akhirnya berjaya menyelesaikan masalah tersebut hasil kerjasama Tenaga Nasional Berhad serta pihak VALE.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan memberitahu setakat ini perbincangan antara penduduk bersama-sama TNB dan Vale telah mencapai satu kata putus yang positif.
Jelasnya, masalah itu sebelum ini timbul berikutan laluan berkenaan merupakan jalan utama lori-lori berat yang membawa bahan-bahan untuk kegunaan dua projek besar iaitu TNB Jana serta Vale di Teluk Rubiah.
“Kerana ini adalah laluan utama dan lori itu angkut barangan termasuk perlatan dan pasir umpanya daripada luar kawasan Vale dan TNB Jana Manjung  ia telah menimbulkn sedikit keresahan bagi masyarakat di sini.
“Bagi penduduk yang rumahnya terlalu dekat dengan laluan utama, mereka membuat gesaan supaya pihak kerajaan serta pihak Vale dan TNB dapat ambil langkah-langkah perlu kerana kesan dari rumah mereka.
Zambry menambah, sebelum ini penduduk di kawasan perumahan tersebut sememangnya sudah memaklumkan perkara itu kepada beliau dan atas dasar itu beliau meminta perbincangan antara Vale dan TNB bersama penduduk dilakukan.
Hasil perbincangan tersebut jelas Zambry, pihak Vale dan TNB telah bersedia menanggung kerosakan rumah-rumah yang retak disebabkan lori-lori berat melalui jalan rumah mereka.
“Saya sudah dimaklumkan bahawa pihak TNB dan Vale telahpun mengambil tindakan perlu, dan hari ini saya datang dan lihat sendiri keadaan rumah mereka.
“Hasil perbincangan pihak Vale dan TNB bersetuju untuk membuat penilaian kepada kerosakan yang berlaku pada rumah-rumah malah, wakil kedua-dua syarikat memaklumkan bahawa mereka sudah hantar pihak insurans untuk membuat penilaian terhadap kerosakan rumah untuk dibayar ganti rugi.
“Saya fikir langkah ini adalah langkah yang terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry turut memuji sikap penduduk kawasan terbabit kerana tidak terpesong dengan cara sesetengah pihak yang lebih gemar berdemonstrasi untuk menyuarakan sesuatu.
Katanya, penduduk berkenaan telah menggunakan saluran yang betul untuk memohon bantuan.
“Penduduk disini tidak mengambil pendekatan untuk berdemonstrasi, apa yang lebih baik mereka menyalurkan rungutan dan sedia untuk duduk berbincang bersama pihak Vale dan TNB tanpa sedikit pun mencetuskan kekecohan,” katanya lagi.

No comments: