Wednesday 18 July 2012

HARAM JATUHKAN KERAJAAN NEGARA ISLAM




KUALA TERENGGANU - Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi menegaskan adalah haram bagi umat Islam menyokong kumpulan yang berniat atau bertindak mahu menjatuhkan sesebuah kerajaan negara Islam walaupun dalam kepimpinan itu didapati berlaku kesalahan melibatkan hukum syarak.



Kata beliau, ia kerana tindakan menjatuhkan kerajaan negara Islam itu adalah tidak dibenarkan agama, apatah lagi jika umat Islam tersebut mahu menggantikan dengan pemerintahan yang boleh mendatangkan bahaya lebih besar.


Tambah Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq, Universiti Ummul Qura, Mekah itu, hukum berkenaan jelas berpandukan sebuah hadis sahih yang menyatakan perkara tersebut.


"Hadis itu ialah "sekiranya datang kepada kamu orang yang mahu memecah-belah kesatuan kamu sedangkan ketika itu kamu bersatu, maka hendaklah kamu pancung tengkuknya'' dan daripada hadis itu hukumnya jelas adalah haram menyokong kumpulan yang mahu memecahkan kesatuan yang sedia ada iaitu kerajaan Islam," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan mengenai Perpaduan Senjata Umat Islam pada Program Bicara Tokoh di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) di sini hari ini.


Program selama tiga jam itu merupakan anjuran kerajaan negeri bersama Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI) sempena lawatan tiga hari tokoh itu ke negeri ini.


Dalam pada itu, Sulaiman berkata, sekiranya umat Islam tidak suka terhadap kerajaan yang memerintah atau mahu menegur kesalahan yang dilakukan kepimpinan mereka, pastinya ada beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh golongan itu.
Jelasnya, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah jangan sesekali mengadakan demonstrasi jalanan kerana ia bukan cara menukar kerajaan negara Islam atau memperbetulkan setiap kesilapan yang telah dilakukan pemimpin.
"Demonstrasi hanya boleh menyebabkan sesuatu perkara yang buruk menjadi lebih buruk dan ia bukan ubat penyembuh kepada setiap masalah.
"Justeru, jangan sesekali mengadakan demonstrasi kerana ia menyebabkan masalah lain datang bertimpa-timpa, malah membawa kepada fitnah yang lain," tegasnya.
Ujarnya, cara terbaik untuk mengubah kepimpinan yang baik adalah nasihat menasihati antara satu sama lain.
"Dalam perkara ini, para ulama, cendekiawan mahupun ahli fikir perlu mengambil tanggungjawab ini untuk menegur pemimpin mereka yang membuat salah kerana itu adalah tanggungjawab mereka dan jika gagal berbuat demikian mereka akan disoal oleh Allah di akhirat kelak.
"Pemimpin perlu ditegur oleh golongan itu dan bukannya rakyat biasa dengan mengadakan demonstrasi jalanan. Apa yang rakyat boleh buat adalah menunjukkan contoh yang baik kepada pemimpin mereka," katanya.

No comments: