Monday 19 March 2012

LAP UNTUNG RM104.32 JUTA

 

Lembaga Air Perak (LAP) sekali lagi menunjukkan prestasi cemerlang apabila mencatatkan peningkatan dalam jualan air sebanyak RM4.97 juta tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, jumlah jualan air pada 2011 iaitu sebanyak RM 275.46 juta adalah suatu peningkatan yang baik berbanding dalam tempoh sama tahun sebelumnya iaitu berjumlah RM 270.67 juta.
“Susulan daripada peningkatan itu, ia sekaligus telah memberi keuntungan berlipat ganda kepada LAP dimana agensi itu telah mencatatkan jumlah keuntungan bersih sebelum cukai bagi tahun 2011 adalah sebanyak RM104.32 juta.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga telah meluluskan penstrukturan semula air dan perkara itu telah pun dimaklumkan kepada Kementerian Tenaga Hijau dan Air untuk proses seterusnya.
“Jadi kita telah maklumkan mengenai kelulusan ini kepada kementerian berkaitan pada 8 Januari lalu dan memorandum terbabit akan dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri berkenaan untuk kelulusan di peringkat kerajaan pusat.
“Sekiranya ia diluluskan maka perjanjian dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan dimeterai,” katanya.
Tambah Zambry lagi, penstrukturan semula itu menunjukkan LAP berjaya melangkah setapak lagi dalam usaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Perak.
Malah katanya, selain usaha penstrukturan semula, agensi terbabit juga akan meneruskan perlaksanaan pemberian subsidi air kepada rakyat miskin di negeri terbabit.
“Kita telah laksanakan pemberian subsidi air untuk rakyat miskin melalui bantuan bulanan menerusi agensi kerajaan yang ada seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Perak dan Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli.
“Jadi kerajaan negeri melalui LAP telah menggunakan pendekatan ini sepanjang 5 tahun lalu dimana ia telah memberi manfaat kepada 9,383 keluarga,” katanya.
Menurut Zambry, setakat ini kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2,615 817.20 khas untuk membantu golongan miskin di Perak melalui skim subsidi terbabit.
Malah katanya, dalam usaha untuk memastikan penggunaan air bersih bagi masyarakat luar bandar, projek bekalan air luar bandar melalui kementerian berkaitan telah pun dilaksanakan.
“Kita telah melaksanakan projek ini melalui  Kementeran Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu bagi tempoh 2007 hingga 2012 sebanyak 294 projek telah dilakukan di seluruh negeri.
“Jadi, paip atau saluran air sepanjang 314 km telah siap dipasang  dengan melibatkan kos sebanyak RM 68.6 juta.
“Kita harap dengan perlaksanaan projek ini ia dapat memberi manfaat kepada 6,780 keluarga,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga LAP di Ipoh, pagi tadi.

No comments: